fbpx
HUTAN Simpan Pulau Tenggol di Dungun kaya dengan pelbagai khazanah alam bernilai tinggi.

Pokok paku aji laut lesap dikebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Keghairahan untuk mendapatkan keuntungan segera menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk ke Pulau Tenggol di sini untuk mencuri pokok-pokok paku aji yang tumbuh liar di kawasan berkenaan.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Roslan Rani berkata, pihaknya mendapati kehila­ngan pokok bernilai tinggi di hutan simpan seluas 540 hektar itu telah dikesan sewaktu pihaknya mengadakan bancian pada awal bulan lalu.

“Pokok paku aji laut tumbuh secara semula jadi di kawasan berbatu di dalam hutan simpan di Pulau Tenggol.

“Pemeriksaan baru-baru ini mendapati kebanyakan pokok spesies itu sudah tiada di habitatnya dan yang tinggal hanya pokok belum matang dan terletak di batuan curam,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Roslan, pemeriksaan pihaknya mendapati pokok ba­lak berharga seperti balau laut yang turut berada dalam habitat sama tidak diusik.

Tambah beliau, seperti mana pokok balak yang tidak dibenarkan ‘disentuh’, pokok paku aji laut juga tidak sepatutnya di­ambil sesuka hati kerana ia me­rupakan sebahagian kha­zanah dalam Hutan Simpan Pulau Tenggol yang perlu dipelihara.

Contoh pokok paku Aji

“Kami percaya kehilangan pokok-pokok paku aji laut ini didalangi pihak tertentu ekoran ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat pokok hiasan dan landskap.

“Saya difahamkan pokok paku aji laut boleh dijual pada harga sekurang-kurangnya RM6,000 sepokok. “Oleh sebab itu, saya percaya ada pihak yang gelap mata dan sanggup langgar undang-undang dan merisiko nyawa memanjat kawasan berbatu di Pulau Tenggol untuk mencuri pokok tersebut,” katanya.

Roslan berkata, habitat pokok paku aji laut terletak di kawasan tidak berpenghuni yang hanya boleh diakses menerusi jalan laut.

Tambah beliau, bagi mema­suki kawasan itu, mereka perlu menaiki bot selama kira-kira 40 minit dari Kuala Dungun sebelum memanjat batuan.

“Pokok tersebut yang berjaya diambil dibawa pulang juga dengan menggunakan bot sebelum dipercayai dipasarkan di pusat jualan anak pokok atau dipromosi menerusi media sosial.

“Mengambil pokok paku aji laut di Hutan Simpan Pulau Tenggol merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985,” katanya.

Roslan berkata, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara antara setahun hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan mengetatkan kawalan dengan bantuan agensi lain seperti Jabatan Laut dan Ma­ritim Malaysia (APM) bagi memastikan khazanah berharga di Pulau Tenggol itu tidak dijarah sesuka hati pada masa hadapan.

POPULAR