fbpx

Semoga bahagia sampai ke syurga Nynaa, Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUMAH tangga Nynaa dan suaminya, Fahmi dapat diselamatkan selepas mereka sepakat kembali berbaik minggu lalu.

SALING tidak tumpah seperti plot cerita drama Tamil 100 episod yang penuh konflik, tanda tanya dan putar belit.

Itulah yang paling sesuai menggambarkan kemelut hubungan pelakon Nynaa Harizal dan suaminya, Mohamed Fahmi Ilyas.

Sejak awal bulan lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan cerita mengenai pergolakan kisah rumah tangga Nynaa yang secara tiba-tiba meledak apabila si suami mendakwa isterinya ‘diculik’ bapa mertua sendiri di set penggambaran sebuah drama.

Harizal yang merupakan bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar sebelum itu dilaporkan media hadir ke set penggambaran dengan membawa pistol bagi tujuan ugutan.

Biarpun begitu, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu tampil menepis sekeras-kerasnya dakwaan suaminya itu bahawa dia dilarikan keluarga sendiri.

Drama diteruskan apabila Fahmi membuat tuntutan seminggu selepas itu agar isterinya kembali taat dan pulang ke pangkuannya.

Demikian sedikit sebanyak ringkasan kepincangan mahligai yang baru sahaja dibina pasangan itu tidak sampai tiga bulan lalu.

Buang masa. Itu mungkin yang dirasakan pengamal media dan orang ramai yang mengikuti secara langsung mahupun tidak kes rumah tangga mereka yang tak sepatutnya dicanang kepada umum.

Sejak pergolakan tersebut berlaku, Fahmi beberapa kali membuat sidang akhbar tergempar dan menjemput pengamal media.

Mungkin itu dirasakan sebagai satu platform dan medium terbaik untuk Fahmi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka yang berlaku selain mengharapkan isterinya dapat kembali ke pangkuan.

Jelas terlihat betapa sayangnya Fahmi terhadap Nynaa. Pelbagai cara dan usaha dilakukan ahli perniagaan itu agar perkahwinan mereka dapat diselamatkan.

Namun, hampir sia-sia segala usaha lelaki itu apabila Nynaa hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, Johor pada 18 November bagi menghadiri satu prosiding sebutan permohonan perceraian secara baik.

RABU lalu, Nynaa dan Fahmi berpimpin tangan ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur selepas kedua-duanya bersetuju untuk berbaik semula.

Permohonan perceraian dengan talaq atau perintah atau lazim dirujuk sebagai Perceraian Cara Baik di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003.

Selang beberapa hari selepas itu, Nynaa pula menyambung pergolakan apabila menyenaraikan tujuh syarat ‘aneh’ sekiranya mereka mahu bertemu dan berbincang mengenai hala tuju rumah tangga.

Tidak ubah seperti syarat Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka. Namun tidak sempat syarat tersebut ditunaikan, perang dingin antara suami isteri itu tiba-tiba reda bagai tiada apa yang berlaku selepas kedua-dua mereka sepakat untuk berbaik.

Rabu lalu, pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur sambil berpimpin tangan persis pengantin baharu sekali gus mencapai kata sepakat untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.

Selepas melalui pelbagai episod memeningkan, akhirnya Fahmi dan Nynaa kembali bersatu. Harapannya semoga hubungan mereka kekal ke jannah.

“Alhamdulillah, Allah telah makbulkan doa saya. Saya sangat bersyukur dapat kembali ke tempat saya berada.

“Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa bermakna awak kepada saya. Saya sangat cintakan awak suamiku, Fahmi Ilyas. Hanya kematian yang dapat memisahkan kita,” demikian tulis Nynaa dalam Facebooknya meluahkan rasa syukur dapat kembali bersama.

Walaupun agak ‘pening’ dengan segala macam drama yang berlaku, tapi diharapkan selepas ini, tolonglah jangan lagi bawa keluar hal-hal dalam kelambu ke tatapan umum.

Adat berumah tangga lebih-lebih lagi pasangan baharu seperti kalian tidak akan terlepas daripada dugaan dan cabaran.
Pasangan yang sudah berkahwin berdekad lamanya pun tak dapat lari daripada masalah tersebut, inikan pula kalian yang tidak sampai 100 hari meniti usia perkahwinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI