PEMUDA ini sering menangis memikirkan dosa-dosanya di masa lalu yang sering melupakan keagungan Allah. – gambar hiasan

Nyawa ‘kedua’ hilangkan sikap bongkak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK ramai yang berpeluang untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik dan menjadi hamba Allah yang bersyukur dengan nikmatnya selepas sekian lama hidup dalam kemewahan dan kesombongan.

Itu yang berlaku kepada seorang anak muda yang selama ini hidupnya dilimpahi dengan kesenangan hidup dan sering bongkak dengan orang di sekelilingnya.

Namun, Allah maha kaya. Selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya dan tidak mempunyai harapan untuk hidup, Allah memberinya ‘nyawa’ kedua agar dia menginsafi diri dan menjadi manusia yang berguna keopada insan lain.

Selepas itu, dia telah berubah dan mengabadikan usianya untuk membantu insan lain menjalani kehidupan lebih baik.
————————————————————————————————————————————————————-

KITA sering lalai dengan nikmat dunia sehingga terlupa bahawa hakikat hidup ini hanya sementara dan yang dibawa di akhirat kelak adalah bekalan amalan soleh serta kebaikan.

Demikian yang dirasai oleh Amirul, 35, (bukan nama sebenar) apabila dia hanyut dengan nikmat dunia sehingga menjadi manusia bongkak dan sombong kerana tidak pernah merasa susah.

Pemuda itu yang dilahirkan di dalam keluarga berada, hidup dalam keadaan serba mewah sejak kecil sehingga dewasa dan mempunyai syarikat sendiri tanpa perlu memikirkan wang atau sukarnya mendapatkan pekerjaan kerana semuanya telah disediakan oleh kedua ibu bapanya.

Oleh kerana kesenangan hidup itu, Amirul sangat jauh daripada Tuhan sehingga tanggungjawab sebagai orang
Islam tidak dilaksanakan dan seingat dia, kali terakhir melakukan ibadah solat adalah ketika kecil apabila disuruh oleh neneknya.

Namun, segalanya berubah apabila dia terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, patah kaki dan tangan serta koma selama tiga bulan.

“Masih segar dalam ingatan, kemalangan lima tahun lalu hampir meragut nyawa. Saya amat bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk hidup pada hari ini.

“Pada ketika itu, saya menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Tiba-tiba sebuah kereta merempuh dari arah belakang sehingga terseret masuk ke dalam gaung,” ceritanya yang berasal dari utara tanah air itu.

PELUANG kedua yang diberikan oleh Allah kepada Amirul untuk terus bernafas membuatkan pemuda itu benar-benar insaf dan berazam menjadi insan lebih baik untuk memberi manfaat.- GAMBAR HIASAN

Ketika di bawa ke hospital, Amirul dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan doktor menjangkakan dia tidak boleh hidup lama.

Anak sulung daripada dua beradik itu terus berjuang untuk hidup dan ahli keluarga tidak putus-putus berdoa agar diberikan keajaiban walaupun pada masa sama sudah pasrah sekiranya dia pergi buat selama-lamanya.

“Atas nasihat doktor, ahli keluarga sudah mempersiapkan kematian saya seperti menempah lubang kubur dan sebagainya.

“Namun, Allah masih memanjangkan usia dan memberikan peluang kedua agar saya memperbaiki diri supaya menjadi manusia lebih baik,” ujar bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Amirul yang dalam keadaan koma tiba-tiba terjaga apabila terdengar azan Subuh di telinganya dan ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang berlaku pada dirinya.

Selepas sembuh daripada luka dan kesan kemalangan, Amirul tergerak hati untuk pergi ke kawasan kubur yang ditempah ketika dia dalam keadaan koma.

Juraian air mata mengalir di pipinya sukar untuk dihentikan dan sejak itu dia bertekad untuk berubah menjadi hamba lebih baik serta membantu menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan.


AMIRUL kini menjadi sukarelawan dalam kerja-kerja amal seperti menguruskan jenazah dan membantu mereka yang memerlukan.–GAMBAR HIASAN

“Sejak itu jugalah, saya menjadi sukarelawan untuk menggali kubur, menguruskan jenazah dan cuba membantu apa jua keperluan orang sekeliling dengan sedaya-upaya.

“Saya telah tinggalkan segala kemewahan dan kini menjalani kehidupan sederhana dan mempelajari agama dengan lebih mendalam,” ujarnya dengan nada sebak.

Pesan Amirul, hidup ini hanya sementara, jangan kita leka dengan nikmat diberikan.

“Sebaliknya, jadilah hamba terbaik dan manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.

“Kumpul sebanyak mungkin amalan sebagai bekalan untuk kita bawa ke negei abadi di akhirat kelak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN