fbpx

Arif Aiman dinobat Pemain Paling Bernilai ABK21

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF AIMAN melakar sejarah menjadi pemain termuda merangkul anugerah MVP pada majlis ABK21) yang diadakan secara virtual malam tadi.

BINTANG muda skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menepati ramalan selepas dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara virtual malam tadi.

Sebagai rekod, Arif yang baru berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain termuda merangkul anugerah berprestij itu selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid melakukannya pada edisi 2018 ketika berusia 21 tahun.

Arif telah menjadi antara watak penting JDT menjuarai trofi Liga Super dan Piala Sumbangsih, selain membantu kelab Harimau Selatan mara ke final Piala Malaysia sebelum tewas kepada KL City FC, Selasa lepas.

Mengulas mengenai kejayaannya, Arif yang turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik me­ngakui anugerah itu tidak akan dicapai tanpa soko­ngan pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta rakan-rakan sepasukan.

“Alhamdulillah, saya dinobatkan pemenang MVP pada tahun ini dan anugerah ini kali pertama saya menang dalam karier sebagai pemain profesional.

“Terima kasih saya ucapkan kepada TMJ kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan juga kepada jurulatih Benjamin Mora dan barisan kejurulatihan lain kerana sentiasa memberi soko­ngan dan percaya kepada saya untuk bermain banyak perlawanan pada tahun ini.

“Penghargaan juga kepada rakan-rakan sepasukan dan pemain senior lain yang sentiasa bantu saya ketika saya mula-mula masuk ke dalam pasukan JDT dan tidak dilupakan juga kepada semua penyokong saya,” katanya yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura.

Bagi kategori Anugerah Pe­nyerang Terbaik, Arif menafikan cabaran dua lagi calon akhir, Darren Lok (PJ City FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC).

Bagi kategori Anugerah Pemain Muda Terbaik pula, dia mengatasi dua calon dari Sela­ngor FC, Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI