fbpx

Tinggal masalah kerja buru pari di laut lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD NOOR (kiri) bersama saudara-maranya menunjukkan ikan pari yang berjaya ditawan.

MEMANCING bukanlah sekadar aktiviti yang memberi kepuasan kepada kaki pancing, malah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan setiap kali turun memburu khazanah laut yang begitu mencabar.

Bagi keluarga Tok Wak Hamid, mereka termasuk yang bekerja di luar negeri dan pulang ke kampung halaman akan berkumpul dan keluar memancing bersama setiap bulan.

Menurut Mohammad Noor Halimin, 34, dari Kampung Baru, Seberang Ramai di Kuala Perlis, aktiviti itu diketuai bapa saudaranya Jamil Hamid, 54, yang memiliki bot sendiri.

Katanya, kelebihan memiliki bot sendiri itu membolehkan ahli keluarga Tok Wak Hamid beriadah sambil memancing di sekitar perairan Kuala Perlis.

“Kami biasanya keluar memancing antara lima hingga tujuh orang pada hujung minggu atau semasa bot sewa itu tidak ditempah oleh pemancing lain,” katanya ketika ditemui K2.

Jelasnya, mereka biasanya akan turun pada pukul 5 petang dan pulang kira-kira pukul 12 tengah hari keesokan harinya.

“Antara kawasan menjadi pilihan kami ialah sekitar perairan Kuala Perlis, tukun Sungai Baharu dan Langkawi di Kedah yang kaya dengan pelbagai ikan.

“Apapun buruan utama kami ialah ikan pari kerana ikan itu sangat mencabar dan memerlukan pengalaman bagi menewaskannya,” katanya yang membawa lima joran setiap kali turun ke laut.

Kata Mohammad Noor lagi, keluarganya itu lebih suka memancing dengan teknik bottom kerana lubuk pari terletak di kawasan dasar laut.

HASIL tangkapan yang berjaya diperoleh.

“Semasa dalam perjalanan ke lubuk pari itu, kami akan mencandat sotong atau memancing ikan temenung untuk dijadikan umpan bagi menangkap ikan pari.

“Ikan pari lebih ‘galak’ pada waktu malam kerana akan mencari mangsanya iaitu sotong dan pada waktu itulah kami mengambil kesempatan memerangkap spesies itu yang berenang mencari mangsanya.

“Kami juga akan mengail beberapa jenis ikan seperti jenahak, alu-alu, senangin dan adakalanya ikan-ikan itu akan dimasak dengan mi segera untuk dimakan pada waktu malam,” katanya.

Ujarnya, aktiviti seperti itu sangat memberi kesan kepada ahli keluarganya kerana sambil memancing mereka akan berbual seterusnya dapat menghilangkan segala masalah kerja.

Tambahnya lagi, memancing bersama beberapa saudaranya yang berpengalaman luas dalam aktiviti memancing di laut sangat menyeronokkan.

“Memancing di laut sangat berbeza dengan memancing di tasik atau sungai kerana di laut lebih mencabar.

“Ia memerlukan pemancing bijak membaca arah angin, cuaca dan paras air pasang kerana ia memberi kesan kepada pemancing serta hasil tangkapan,” jelasnya.

Ditanya mengenai pengalaman manis yang sukar dilupakan, katanya, dia berjaya menjinakkan pari seberat 32 kilogram (kg) tiga tahun lalu.

MOHAMMAD NOOR menunjukkan ikan pari yang berjaya ditawannya di tukun Sungai Baharu.

“Waktu itu kami memancing di tukun Sungai Baharu dan terpaksa bertarung hampir satu jam bagi menaikkannya.

“Pada masa itu saya terpaksa dibantu beberapa saudara kerana untuk menaikkannya sangat mencabar apatah lagi laut agak berombak.

Saya terpaksa melepaskan semua tali yang ada pada reel semasa bertarung dengan pari itu sehingga kami akhirnya perlu gunakan kancu untuk menaikkannya,” ceritanya.

Katanya, hasil tangkapan lazimnya akan dibahagikan selain dijual di pusat pengumpulan ikan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI