fbpx
Gambar hiasan.

Import ayam tapi bekalan masih banyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Isu kenaikan harga ayam dan sayur dalam tempoh fasa pemulihan negara tentunya memberi impak kepada petani dan penternak.

Keadaan itu dikatakan berlaku apabila ada pihak yang didakwa cuba mengaut keuntungan dengan mengimport produk dari luar negara.

Menerusi hantaran di Facebook Coach Bahar, lelaki itu memaklumkan kebanyakan penternak dan petani di negara ini masih mempunyai bekalan barang mentah tersebut yang tidak terjual.

“Sepanjang tempoh harga ayam dan sayur naik, saya tidak menaikkan harga. Saya juga tahu rakan-rakan penternak tidak mendapat harga yang munasabah daripada pemborong.

“Disebabkan itu, banyak bekalan sayur dan ayam tidak terjual sehingga saya tertanya bagaimana ada pihak mendakwa bekalan tidak mencukupi,” katanya.

Coach Bahar yang juga pengasas Kumpulan Syarikat D’impian dan Jurulatih Perniagaan di Akademi Pakar Perniagaan turut menyatakan individu yang bertanggungjawab menaikkan harga adalah orang tengah, bukan golongan petani, pekebun dan penternak.

“Mereka (orang tengah) boleh naikkan harga sesuka hati. Saya pergi pasar borong, harga hari ini tidak sama dengan semalam.

“Macam-macam ‘tauke’ cakap (punca) seperti hujan dan terlalu banyak permintaan. Sayur kita tanam hari ini bukan boleh dipetik esok. Lada memerlukan masa hampir dua bulan untuk berbuah,” ujarnya.

Susulan perkongsian itu, orang ramai turut bersetuju dan menggalakkan orang ramai membeli sayur dan ayam tempatan bagi membantu ekonomi penduduk terutama di kawasan luar bandar.

“Saya sendiri membeli secara langsung daripada petani dan kawan-kawan yang ternak ayam sendiri. Kalau ada telur kampung lagi,” kata Natalia.

“Beli sayur tempatan supaya kita dapat membantu ekonomi orang tempatan,” tulis Aziz pula.-K! ONLINE

POPULAR