fbpx

Dalang PATI gagal cubaan rasuah RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara PATI yang ditahan di Pantai Baru Morib, semalam.

KUALA LANGAT – Cubaan seorang lelaki yang merupakan dalang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyogok RM6,000 gagal mengaburi mata pihak berkuasa yang memberkasnya di Pantai Baru Morib, semalam.

Sogokan itu dilakukan suspek warga asing berusia 34 tahun ketika proses tangkapan pukul 1.30 tengah hari bagi melepaskan 21 PATI dan tiga transporternya yang telah ditahan terlebih dahulu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, berdasarkan siasatan mendapati dalang tersebut telah terlibat dalam penyeludupan migran itu sejak lapan bulan lalu.

“Suspek juga bertindak mengatur tekong-tekong darat atau transporter mengambil PATI dari Dumai ke pesisiran pantai Selangor.

“Setiap PATI akan dikenakan bayaran RM1,500 dan tekong akan diberikan upah antara RM100 hingga RM150 oleh suspek utama itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kata beliau, pihaknya terdahulu menahan tiga buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tali Air, Morib kira-kira pukul 7.30 pagi hari sama.

Rizal menambah, hasil pemeriksaan menahan tiga warga asing bertindak sebagai transporter dan 21 warga asing yang kesemuanya berusia 18 hingga 44 tahun di kenderaan tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan mendapati warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan baru memasuk ke negara ini dari Pulau Rupat, Dumai melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Kita turut mengesan seorang PATI memiliki kad pengenalan Malaysia dengan siasatan lanjut berkaitannya sedang dijalankan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, pihaknya turut merampas empat buah kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama dan sejumlah wang tunai RM6,000 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM55,550.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1963 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI