fbpx

Pandanglah bakat saya – Wani Kayrie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANI KAYRIE

BUKAN semua artis beroleh tuah untuk melakar populariti dan meraih pengaruh besar dalam masa singkat. Ada segelintirnya mengambil masa agak lama untuk dikenali.

Wani Kayrie termasuk dalam kategori tersebut. Akuinya, dalam tempoh 10 tahun bergelar penyanyi, kariernya masih suam-suam kuku meskipun sudah banyak menghasilkan lagu pelbagai genre.

Malah, penyanyi berusia 21 tahun itu juga kerap kali menyertai program pertandingan realiti sebagai usahanya membawa nama ke depan untuk dikenali khalayak.

Dilema itulah yang diluahkan Wani menerusi penerbitan single baharunya berjudul Jangan Terlepas Pandang, hasil ciptaan komposer terkenal MFMF dan Asyraf Nasir.

Lebih manis, peluncuran lagu tersebut merupakan buah tangan pertamanya sejak bernaung bawah Rocketfuel Entertainment pada Februari lalu.

“Akhirnya penantian saya menghasilkan single bersama Rocketfuel tercapai juga. Syukur dan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kerana memberi peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel sekali gus tampil dengan lagu baharu,” ujarnya.

TAK mengenal erti lelah dan putus asa, Wani mempertaruhkan Jangan Terlepas Pandang sebagai material terbaharunya sejak bernaung bawah Rocketfuel Entertainment.

Isi hati

Pemilik nama lengkap Syazwani Abdullah itu menyifatkan Jangan Terlepas Pandang menjadi simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa dalam hidup.

Juara pertandingan Kamilah Bintang pada 2010 itu sedar, mungkin masih ramai yang kurang mengenali namanya dalam persada dunia seni suara, namun keadaan tersebut langsung tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan langkah.

“Sebagai anak seni, keadaan sebegitu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.

“Jangan Terlepas Pandang merupakan suara hati saya. Selepas sedekad bergiat aktif dalam bidang ini, saya lebih matang dalam berpendirian.

“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan. Namun, saya masih lagi berharap untuk menjadi bintang utama dan tak dilepas pandang,” ujarnya penuh pengharapan.

USIA muda dan perjalanan yang masih jauh ke depan diharapkan mampu mengubah kedudukan Wani dalam industri suatu masa nanti.

Menceritakan lanjut, single bergenre pop dansa tersebut merupakan gabungan idea kreatif antara MFMF dan Asyraf yang mahukan kelainan buat Wani agar dia keluar dari zon selesa sekali gus tampil dengan pembaharuan.

Sungguhpun begitu, setiap tugas pasti terselit cabaran. Sama juga dengan Wani yang sebenarnya terpaksa merakamkan lagu Terlepas Pandang secara dalam talian gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Proses rakaman terpaksa dikendalikan tanpa bersemuka dan kerja gubahan lagu pula dilakukan secara dalam talian.

“Buat sesiapa yang mendengar lagu ini, percaya dengan kebolehan diri sendiri dan jangan takut mencuba perkara baharu dalam hidup. Jangan mudah berputus asa,” ujarnya yang meletakkan harapan menggunung agar lagu Jangan Terlepas Pandang dapat diterima ramai.

MENERUSI single baharu, penyanyi kelahiran Sabah ini berharap dapat membuka mata semua orang terhadap bakat yang dimilikinya.

Semangat, ibu pendorong

Pemenang tempat keempat program Big Stage musim pertama itu percaya, sebagai penyanyi wanita, seseorang perlu ada sifat kendiri dan semangat juang seperti yang ditonjolkan idola-idolanya iaitu Beyonce, Jessie dan Agnez Mo.

“Saya sangat kagum dengan mereka dan menjadikan semua penyanyi ini sebagai inspirasi kerana semangat pemerkasaan wanita yang ditonjolkan setiap kali beraksi di atas pentas.

“Mereka bukan sahaja penyanyi bahkan penghibur serba boleh dan sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali membuat persembahan dengan idea di luar kotak,” ujarnya yang pernah bertanding dalam World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada 2012 di Hollywood, California, Amerika Syarikat.

Ujar Wani yang pernah menyertai program Dansa Dan Sing pada tahun lalu, kehidupannya sentiasa didorong dengan semangat daripada ibunya, Mama Kay.

“Ibu merupakan pendorong utama dalam kerjaya seni saya. Saya kagum dengan semangat mama sebagai seorang wanita yang cekal kerana terlalu banyak pengorbanan telah dilakukannya demi kerjaya saya,” katanya.

Jangan Terlepas Pandang boleh didengari menerusi platform penstriman seperti Apple Music, Spotify, Joox, Youtube Music, KKBox dan Deezer.

Sementara video muziknya pula tersedia menerusi saluran YouTube Rocketfuel Network.

MUNGKIN bakatnya terlepas pandang, namun Wani Kayrie semakin mengorak langkah apabila baru-baru ini dia tercalon dalam senarai kategori Penyanyi Wanit Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI