fbpx

143 warga Sekolah Seri Puteri disahkan positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya

PUTRAJAYA – Warga Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang disahkan positif Covid-19 terus meningkat apabila setakat ini, seramai 143 orang melibatkan 114 pelajar, 19 guru dan 10 kakitangan telah dijangkit dengan kadar serangan 14.7 peratus.

Angka terbaharu itu diperolehi selepas saringan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang dari 26 November lalu hingga hari ini ke atas 973 warga sekolah tersebut serta mengesan 135 lagi kes baharu positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 143 kes tersebut, seramai 106 kes dalam kategori 1 manakala 35 kes yang lain adalah kategori 2A serta dua kes pula dalam kategori 2B melibatkan masing-masing seorang guru dan seorang murid.

Menurutnya, kesemua kes tersebut dalam keadaan stabil manakala, pelajar yang positif Covid-19 dan seorang guru telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

“Sementara itu, seramai 700 orang kontak rapat melibatkan 603 pelajar, 59 guru dan 38 kakitangan telah dikenal pasti. Kontak rapat dalam kalangan pelajar dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia.

“Bagi kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan pula, mereka kini dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, selain aktiviti saringan dan pengasingan kes positif juga kontak rapat, sekolah tersebut telah diarahkan ditutup sementara di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

“Satu sesi taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut telah diadakan. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal,” ujarnya lagi.

Kelmarin, Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin mengesahkan penularan Covid-19 di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya berpunca daripada seorang guru di sekolah berkenaan.

Ia melibatkan Kluster Persiaran Tasik yang telah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan pada 29 November lalu apabila seramai lapan kes disahkan positif Covid-19. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI