fbpx
Verze berharap agar anak mata 3D itu mampu mengembalikan keyakinannya. - Hospital Mata Moorfields

Lelaki Britain terima anak mata cetakan 3D pertama di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Seorang lelaki Britain mencatat sejarah perubatan Khamis lepas apabila menjadi pesakit yang menerima anak mata cetakan tiga dimensi (3D) pertama di dunia, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Steve Verze, yang berusia 40-an, menerima anak mata tersebut selepas kehilangan mata kirinya ketika berusia 20-an, dan semenjak itu, dia menggunakan mata prostetik.

“Mata baharu ini kelihatan menakjubkan dan akan menjadi lebih baik kelak,” kata Verze.

Menurut Verze, dia tidak menyukai mata palsu yang digunakan selama ini, lantas mendapatkan anak mata cetakan 3D di Hospital Mata Moorfield.

Hospital itu menawarkan prosedur tersebut kepada pesakit sebagai ujian klinikal, yang bertujuan untuk mempercepatkan proses penggantian anak mata.

Ketika ini, pesakit perlu mengambil masa selama enam minggu untuk mendapatkan mata baharu sebelum menjalani pembedahan, beberapa janji temu dan masa menunggu antara empat hingga lima bulan selepas pembedahan untuk mendapatkan mata prostetik.

Sebaliknya, doktor di Hospital Mata Moorfields menyatakan bahawa pilihan cetakan 3D hanya mengambil masa selama tiga minggu.

Biarpun anak mata sintetik itu tidak mampu mengembalikan penglihatan Verze, dia berharap agar ia mampu mengembalikan keyakinannya.

“Kami berharap agar ujian klinikal seterusnya akan memberikan bukti kukuh tentang nilai teknologi baharu ini dan menunjukkan perubahannya kepada pesakit,” kata perunding mata di Moorfields, Profesor Mandeep Sagoo. – AGENSI 

POPULAR