fbpx
GAMBAR HIASAN

Karpet merah buat tetamu hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka, industri pelancongan dan sektor perhotelan yang dulunya begitu rancak kadar pertumbuhan setiap tahun terpaksa menghadapi saat getir dan kritikal dalam tempoh pandemik.

Ini dilihat pada momentum pertumbuhan industri pelancongan pada tahun 2019, Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan adalah sebanyak RM240.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Namun krisis kesihatan telah membatasi pertumbuhan organik tersebut sehingga memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem industri pelancongan yang bernilai tinggi itu.

Akibatnya, ada hotel yang terpaksa ditutup, ada pekerja yang berkemahiran atau yang pengalaman setahun jagung dibuang kerja.

Bagaimanapun, selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan pada pertengahan bulan Oktober, segmen tersebut menjadi pilihan masyarakat semula dengan kadar tempahan hotel mula bertambah berkali ganda.

Terdapat sedikit kekecewaan yang diuar-uarkan di media sosial mengenai aduan negatif orang ramai terhadap perkhidmatan yang ditawarkan beberapa pengendali hotel.

Penulis juga sendiri mengalami masalah tersebut yang dianggap sebagai isu teknikal sehingga menjejaskan sedikit mood percutian sebaik tiba mendaftar masuk ke sebuah resort di Perak baru-baru ini.

Masalah kekurangan tenaga kerja khususnya dalam aspek pembersihan, penyelenggaraan dan juga segmen makanan dan minuman telah mencalar imej resort yang sebelum ini cukup terkenal dalam kalangan pelancong.

Penulis berpendapat, sekiranya pengusaha hotel dan resort masih belum bersedia membuka premis masing-masing kepada umum kerana tidak memiliki kakitangan yang mencukupi atau terbeban dengan masalah kewangan, jangan mengambil risiko bahaya itu.

Syarikat pengendali hotel perlu mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan kerana masyarakat kini begitu sensitif terhadap persekitaran sekeliling.

Selepas ditinggalkan lebih daripada setahun bangunan yang kosong tanpa pengunjung, pastinya ia telah meninggalkan seribu pertanyaan kepada tetamu yang peka terhadap aspek kesihatan, sama ada dalam bilik termasuk tandas, katil, tilam, bantal dan selimut serta dewan, kolam renang dan lif sentiasa dibersih dan disanitasi.

Ciri-ciri keselamatan juga perlu dititik beratkan bagi mengelak sebarang kejadian jenayah.

Pihak pengurusan hotel tidak kira daripada kategori bajet, bertaraf tiga hingga lima bintang perlu memastikan segala kemudahan sedia ada memberi manfaat terbaik kepada pengunjung.

Bentanglah karpet merah kerana tidak lama lagi rakyat Malaysia akan menyambut Hari Natal dan tahun baharu 2022, maka pastinya berduyun lagi tetamu berkunjung untuk bercuti.

Sehubungan itu, belajar daripada kesilapan lalu, perbaharuilah aduan dan maklum balas pengunjung agar mood bercuti mereka diraikan sebaik sahaja mendaftar masuk di hotel. -K! ONLINE

POPULAR