fbpx

Edar dadah lima bulan sebelum tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustafa Kamal Gani (kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak kira-kira lima bulan lalu tumpas apabila tiga individu dicekup polis dalam beberapa serbuan di daerah Seberang Perai Tengah dekat sini Selasa lalu.

Salah seorang daripada kesemua suspek yang berusia di antara 38 hingga 47 tahun itu turut didapati memiliki 18 rekod lampau berkaitan kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pada operasi itu, pihaknya merampas sejumlah dadah jenis syabu dan heroin bernilai kira-kira RM134,800.

“Dalam serbuan di sebuah rumah di Permatang Pauh, dua lelaki ditahan bersama 10 peket dadah disyaki heroin seberat 171.35 gram (g) bernilai RM2,296, sembilan peket syabu seberat 13.25g (RM1,325) dan sembilan biji pil Erimin 5 (RM135).

“Menerusi serbuan kedua di tepi jalan di Bukit Tengah, suspek ketiga ditahan bersama-sama satu peket plastik heroin seberat 457g bernilai RM6,124.

“Manakala, serbuan berikutnya di sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam, polis berjaya merampas sembilan peket heroin seberat 4.125 kilogram bernilai RM55,275 dan dua ketulan mampat heroin base seberat 750g bernilai RM69,645,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Mustafa Kamal Gani berkata, siasatan awal polis mendapati sindiket itu mula bergiat aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Seberang Perai sejak Jun tahun ini dan pihaknya juga sudah mengenal pasti serta sedang giat mengesan saki baki ahli sindiket.

“Ketiga-tiga suspek yang merupakan penganggur dan pemandu lori itu turut didapati positif syabu dan morfin dalam ujian saringan air kencing.

“Selain itu, polis turut menyita dua utas rantai leher, dua bentuk cincin dan seutas gelang tangan yang bernilai kira-kira RM12,500 daripada suspek bagi siasatan lanjut,” katanya.

Ujar beliau, suspek masing-masing direman sehingga Isnin dan Selasa ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI