fbpx

Rumah pusaka tunggu masa roboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN rumah keluarga Mazita yang sudah uzur dengan sebahagian besar lantai reput akibat dimakan anai-anai di Kampung Nibong, Beris Kubor Besar, Bachok.

BACHOK – Lima beranak di Kampung Nibong, Beris Kubor Besar di sini terpaksa hidup dalam keadaan serba kekura­ngan apabila keluarga itu tidak mampu untuk membaiki rumah pusaka berusia lebih 100 tahun.

Sebahagian besar lantai rumah kayu yang didiami Wan Aziz Wan Ismail, 49, bersama isteri, Mazita Hassan Pakry, 50, serta tiga anak mereka berusia antara 11 hingga 27 tahun sudah reput akibat dimakan anai-anai.

Menurut Mazita, suaminyabekerja sebagai tukang rumah di Jeli dan pulang ke rumah seminggu sekali untuk menjimatkan kos.

Katanya, pendapatan suaminya hanya RM50 sehari bergantung kepada pekerjaan yang dilakukan dan nafkah yang diberikan oleh ketua keluarga itu hanya cukup untuk makan minum mereka di rumah.

“Atap bata yang menjadi bumbung rumah juga sudah bocor. Keadaan itu menyebabkan lantai rumah basah apabila hujan dan menambahkan lagi kerosakan di bahagian itu.

“Saya sudah tinggal di rumah ini sejak dilahirkan, namun kea­daan rumah pusaka ini semakin teruk sejak kebelakangan ini. Keadaan itu menyebabkan kami sekeluarga sentiasa berjaga-jaga kerana bila-bila masa boleh runtuh,” katanya ketika ditemui Kos­mo! kelmarin.

Menurut Mazita, rumahnya itu juga tidak mempunyai bilik tidur dan tandas pula berada di luar rumah selain mereka sekeluarga masih menggunakan bekalan air telaga berhampiran rumah.

Ujarnya, dia pernah me­minta bantuan untuk membaiki rumah pusaka yang terletak di atas tanah milik ibu saudaranya itu daripada beberapa pihak, namun masih tiada jawapan.

“Buat masa ini, kami hanya mahu membaiki bahagian lantai dan atap kerana bimbang ke­adaan akan menjadi lebih buruk terutamanya semasa musim tengkujuh ini,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh me­nyalurkannya menerusi akaun Bank Islam, Mazita Hassan Pakry 0310-2020-2623-53 atau hubungi­nya di talian 019-500 2742. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI