fbpx
KANSER payudara merupakan penyakit yang sering menjadi igauan ngeri kaum wanita. – GAMBAR HIASAN

Cahaya buat pesakit kanser payudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI golongan wanita, kanser payudara merupakan satu penyakit yang membawa mimpi ngeri buat mereka.

Ini kerana, jika didiagnosis berhadapan dengan masalah itu, kehidupan mereka pasti akan berubah 360 darjah dan perlu menjalani beberapa prosedur rawatan.

Di Malaysia sendiri, kira-kira satu daripada 19 wanita berisiko berhadapan dengan penyakit kanser payudara.

Dalam pada itu, lebih 60 peratus mereka yang berhadapan dengan penyakit ini telah didiagnosis berada pada tahap lanjutan.

Bagi pesakit yang didiagnosis berada pada tahap lanjutan sering kali membuatkan mereka berasa putus asa berikutan persepsi umum mengatakan, peluang untuk sembuh agak tipis.

Namun sebenarnya, dengan kemajuan dalam bidang perubatan perkara ini masih mempunyai peluang untuk diatasi.

Konsultan onkologi di Hospital Kuala Lumpur, Dr. Vaishnavi Jeyasingam berkata, kanser payudara peringkat lanjutan atau juga dikenali sebagai advanced breast cancer (ABC) merujuk kepada tahap tiga dan empat apabila ia merebak ke bahagian anggota badan yang lain.

Menurutnya, kebiasaannya kanser payudara akan merebak pada bahagian paru-paru, hati, tulang dan otak.

“Walaupun penyakit pada tahap ini tidak dapat disembuhkan, namun kemajuan dalam pilihan rawatan termasuk kemoterapi, radiasi, imunoterapi dan terapi bersasar menunjukkan perkembangan positif yang memberangsangkan.

“Peningkatan yang dapat kita lihat adalah pada tindak balas rawatan dan kadar kelangsungan hidup, selain kurang kesan sampingan serta berupaya mengekalkan kualiti hidup yang baik dalam kalangan pesakit,” jelasnya.

Tambahnya, sedekad lalu, kita melihat kemajuan besar dalam bidang klasifikasi kanser payudara yang mana terbukti tidak semua kanser berkenaan mempunyai perilaku yang sama.

Ia secara amnya dikelaskan kepada kanser hormon positif, HER2-positif, dan kanser payudara tiga kali ganda negatif.

Ini membawa kepada rawatan disesuaikan mengikut klasifikasi serta latar belakang pesakit, masalah kesihatan dan juga keperluan sosial dan logistik.

PESAKIT perlu menjalani beberapa siri rawatan dalam usaha merawat masalah kanser payudara.– GAMBAR HIASAN

“Dengan rawatan yang lebih baik dan mengikut keperluan pesakit, mereka dapat menikmati hasil jangka panjang serta kelangsungan hidup yang baik.

“Perjalanan untuk kelangsungan hidup pesakit kanser yang merangkumi aspek fizikal, mental, sosial serta kewangan pesakit, keluarga dan penjaga dapat meningkatkan kebersamaan bagi semua yang terlibat dalam situasi ini,” jelasnya.

Perjalanan penyakit kanser ini sememangnya memerlukan usaha bersama daripada pelbagai pihak bagi membantu memudahkan seseorang pesakit menerimanya dengan hati yang terbuka.

Dalam pada itu, konsultan onkologi dari Beacon Hospital, Petaling Jaya, Dr. Azura Rozila Ahmad berkata, penting untuk kita mengetahui bahawa tidak semua kanser payudara adalah sama.

Menurutnya, kemajuan dalam bidang onkologi membolehkan kita menentukan kanser pada tahap molekul ataupun tahap ekspresi gen iaitu tahap paling asas.

“Selama empat dekad lalu, inovasi ini membawa kepada pilihan rawatan yang meningkatkan kadar kelangsungan dan kualiti hidup pesakit.

“Sebagai contoh, jika molekul subjenis pesakit dikenal pasti sebagai reseptor hormon positif (HR+), ahli onkologi akan membezakan hormon yang menjadi agen utama mendorong kanser payudara,” ujarnya.

Oleh itu, terapi hormon mungkin lebih sesuai untuk merawat dan mengurus pesakit jenis ini.

Tambahan pula, apabila terapi bersasar dipadankan dengan terapi hormon bagi pesakit ABC HR+, kadar kelangsungan hidup meningkat dengan ketara.

“Bagi pesakit yang mempunyai lebihan protein yang menggalakkan pertumbuhan juga dikenali sebagai HER2 pada sel kanser, keadaan mereka akan diklasifikasi sebagai kanser payudara HER2-positif.

“Terapi rawatan bersasar akan melekat pada protein HER2 pada sel kanser, bagi mencegah sel tersebut daripada terus merebak.

“Apabila digabungkan dengan kemoterapi, ubatan ini akan mengikat dengan sendiri pada protein HER2 di sel kanser dan membawanya terus kepada sel tersebut,” terangnya.

Tambahnya, terdapat beberapa pilihan bagi pesakit ABC dan mereka menjangkakan ubat-ubatan lebih berkesan akan tersedia pada masa hadapan dan diharap meningkatkan lagi keberkesanan buat mereka.

Walaupun rawatan terbaharu menunjukkan keberkesanan bagi kelangsungan hidup pesakit, namun kini lebih banyak pilihan rawatan boleh dipadankan mengikut profil unik pesakit melalui kewujudan pelbagai terapi.

Ini merupakan kelebihan yang menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit memandangkan rawatan tidak lagi menggunakan terapi standard umum.

POPULAR

BERITA BERKAITAN