fbpx

Harga capaian internet 5G lebih murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Harga perkhidmatan capaian internet 5G untuk seluruh Keluarga Malaysia dijangka lebih murah berbanding kos penggunaan 4G ketika ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Digital Nasional Berhad (DNB) akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap Gigabit(GB) untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi berbanding kos tambahan bagi setiap GB 4G yang dihasilkan syarikat telekomunikasi.

“Sebagai perbandingan, harga tersebut jauh lebih rendah berbanding kos tambahan semasa bagi setiap GB 4G yang dihasilkan syarikat telekomunikasi iaitu antara 45 sen hingga 55 sen.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memastikan harga yang ditetapkan adalah adil dan berteraskan pemulihan kos serta bukan untuk menjana keuntungan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berhubung caj 5G akan lebih murah berbanding penggunaan 4G.

Tengku Zafrul memberitahu, setiap syarikat telekomunikasi dijangka akan membayar DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang atau kira-kira purata RM350 hingga RM400 juta setahun.

“Ini adalah jauh lebih rendah daripada jumlah RM1 bilion iaitu perbelanjaan modal untuk 4G yang dilaburkan oleh syarikat telekomunikasi setiap tahun.

“Ia bermakna, mereka akan mendapatkan penjimatan lebih 50 peratus dan dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan atau pengguna. Pada masa sama, mereka juga masih boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, syarikat telekomunikasi juga dapat menyampaikan perkhidmatan 5G lebih awal kerana kos yang lebih rendah serta tanpa modal perbelanjaan yang ketara.

Justeru, ia secara tidak langsung membawa manfaat yang besar kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI