fbpx
Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan kotak-kotak yang mengandungi rokok seludup yang dirampas selepas menahan sebuah lori di Jalan Kelaboran - Kota Bharu, Tumpat hari ini. FOTO ZULHANIFA SIDEK

PGA rampas 1.18 juta batang rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sebanyak 1.18 juta batang rokok bernilai RM885,000 termasuk cukai selepas menahan sebuah lori di Jalan Kelaboran – Kota Bharu di sini hari ini.

Lori jenis Isuzu yang membawa rokok seludup itu ditahan kira-kira pukul 6.15 pagi selepas anggota PGA yang menjalankan pemantauan Op Kontraban melihat kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pemandunya telah menyedari kehadiran kenderaan anggota PGA sebelum bertindak memberhentikan lori tersebut di tepi jalan dan melarikan diri.

Menurutnya, anggota PGA telah mengejar suspek dan menjalankan siasatan di lokasi itu, namun gagal mengesan pemandu lori tersebut.

“Pemeriksaan di bahagian muatan lori itu telah menemui 118 kotak besar yang mengandungi sebanyak 1.18 juta batang rokok seludup.

“Berdasarkan siasatan, setiap kotak rokok yang mengandungi 50 karton dipercayai diseludup di sekitar kawasan Pulau Tengkorak di sini,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Kuala Jambu di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, siasatan mendapati, rokok-rokok itu dipercayai akan dijual untuk pasaran di sekitar Kelantan, negeri berhampiran dan ibu negara.

Ujarnya,meskipun pemandu lori melarikan diri, beliau percaya PGA akan dapat mengesan sindiket terlibat melalui kenderaan yang ditinggalkan oleh suspek.-K! ONLINE

POPULAR