fbpx

Unit amanah PNB patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.8 juta akaun hingga kini. -Gambar hiasan

Sembang Korporat

UMAT Islam di negara ini semakin celik kewangan dan melabur dalam saham amanah menjadi antara topik yang sering dibincangkan.

Namun dalam mencari potensi pertumbuhan modal, kepatuhan terhadap prinsip serta asas syariah tetap menjadi keutamaan kerana sebagai Muslim, apa yang dicari bukan sekadar keuntungan, malah keberkatan.

Menyedari keperluan ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam memenuhi mandatnya untuk meningkatkan kekayaan ekonomi Bumiputera dan rakyat, firma pelaburan terbesar itu telah memulakan perjalanan untuk menawarkan produk yang patuh syariah sepenuhnya.

Sehubungan itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2008 memutuskan hukum melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) adalah harus.

Kemudian pada tahun 2017, pelaburan dalam unit amanah yang ditawarkan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB difatwakan sebagai harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan majlis fatwa di semua 14 negeri.

Wartawan Kosmo! pada Isnin lalu berpeluang mengikuti sesi bersama Naib Presiden/Ketua Pengurusan Syariah PNB, Ahmad Basri Ibrahim yang berkongsi kepada media yang hadir, bagaimana produk ASNB mencapai
status patuh syariah.

Kosmo!: Apa status unit ama­nah yang ditawarkan ASNB setakat ini? Adakah kesemuanya diiktiraf sebagai patuh syariah?
Ahmad Basri: Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan dan majlis fatwa di semua 14 negeri telah memfatwakan hukum melabur dalam produk ASNB sebagai harus, saya boleh katakan bahawa penawaran kami adalah 100 peratus patuh syariah.

Fatwa ini kekal diguna pakai sehingga hari ini.

Bukankah PNB memiliki pegangan saham dalam syarikat yang tidak dikategorikan sebagai patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC)?
Syarikat yang tidak mendapat penarafan patuh syariah daripada SC tidak bermakna syarikat tersebut tidak patuh syariah. Sama seperti makanan yang tidak mendapat logo halal Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia, tidak bermakna ia tidak halal.

Banyak syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia tidak mendapat penarafan patuh syariah SC bukan disebabkan menjalankan aktiviti tidak patuh syariah seperti melibatkan arak, sebaliknya kerana memiliki hutang daripada bank konvensional atau meletakkan tunai dalam akaun konvensional.

Status patuh syariah syarikat-syarikat ini kerap bertukar.

Berdasarkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) PNB, setakat Disember tahun lalu, 75 peratus daripada RM324.5 bilion AUM diletakkan dalam instrumen dan kelas aset patuh syariah berdasarkan parameter SC.

Sementara itu, untuk 25 peratus lagi, kami memiliki proses ­saringan berdasarkan maqasid (objektif) syariah PNB yang bersandarkan kepada kepentingan ummah dan PNB sendiri.

Antaranya kami melihat sumbangan, peranan serta kepentingan sesebuah syarikat dari segi keselamatan negara, teknologi, penawaran peluang pekerjaan dan usaha membasmi kemiskinan.

Pelaburan hanya dibuat selepas syarikat tersebut mendapat kelulusan daripada jawatankuasa penasihat syariah PNB yang bersidang empat kali setahun.

Bagaimana dengan pega­ngan PNB dalam Maybank, yang ada menawarkan perkhid­matan tidak patuh syariah?
Pegangan dalam Maybank antaranya bersandarkan kepen­tingan strategik dalam institusi kewangan. Daripada 33 kaunter kewang­an di Bursa Malaysia yang bernilai RM366 bilion, hanya tiga syarikat mendapat penarafan patuh syariah dengan gabungan saiz cuma RM18 bilion.

Ditambah keperluan pelaburan oleh institusi gergasi lain seperti Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, saiz penawaran kaunter patuh syariah di Bursa Malaysia boleh dianggap kecil. Tidak mungkin kami melabur dalam semua kaunter yang patuh syariah.

Selain itu, dengan pegangan majoriti di Maybank, kami boleh mempengaruhi keputusan dan hala tuju syarikat, antaranya dengan menetapkan polisi Islamic First. Hasilnya, 63 peratus daripada pembiayaan domestik di Maybank kini patuh syariah.

Adakah PNB berpuas hati dengan tahap pematuhan syariah yang dicapai sekarang?
Kami sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dan untuk 2021, 76.6 peratus daripada AUM PNB dilaburkan dalam instrumen patuh syariah, mengatasi sasaran sebanyak 75.5 peratus pada tahun ini.

Antara faktor yang meningkatkan paras ini ialah pertambahan pelaburan PNB ke dalam aset di luar negara yang mana ke­semuanya adalah patuh syariah.

Status mereka dipantau ­penyedia indeks global iaitu MSCI ACWI Islamic, DJIM World Index, FTSE Shariah Global E­quity Index dan S&P Global 1200 Shariah.

Kenapa masih terdapat pihak yang keliru dengan status produk ASNB?
Kami tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk menerima pandangan bahawa produk ASNB adalah patuh syariah.

Memang masih ada ahli agama yang tidak bersetuju dan kami memohon agar mereka berhubung terus menerusi apa jua saluran supaya kami boleh memberi penjelasan mengenai status dan kedudukan PNB.

Sebelum pandemik, Jabatan Pengurusan Syariah PNB sentiasa turun padang untuk memberi kefahaman tentang hal ini dan penerangan yang disampaikan diterima baik apabila dilihat pada jumlah hadirin yang berdaftar selepas sesi penjelasan.

Memberi kesedaran adalah satu proses yang panjang dan aktiviti ini akan diteruskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI