Kes kematian seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dibuli dengan teruk oleh rakan-rakannya telah membuka mata banyak pihak.
Ada pihak yang hairan mengapa kes-kes seperti itu masih berlaku pada masa kini memandangkan kebanyakan mereka yang melakukan adalah daripada kalangan orang terpelajar.
Minggu ini, kolum Wawancara membawakan penganalisis jenayah terkemuka, Kamal Affandi Hashim yang mengupas tentang isu buli yang masih bertapak di negara ini terutamanya di sekolah dan IPT.
Antara kupasan yang dibuat oleh beliau adalah perlu diwujudkan satu talian khas seperti Talian Nur yang diwujudkan untuk golongan wanita membuat laporan keganasan rumah tangga serta meminta khidmat nasihat.
Talian itu nanti dapat memudahkan pihak berkuasa mengetahui sejauh mana serius isu tersebut dan memikirkan kaedah untuk mengatasinya.
————————————————————————————————————————————-
KES buli berprofil tinggi melibatkan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain telah membuka mata banyak pihak. Dalam kejadian pada 2017 itu, Zulfarhan telah dibuli dengan teruk termasuk ditekap dengan seterika wap pada anggota badannya sehingga menyebabkan kematian.
Zulfarhan Osman dipercayai diseksa tanpa belas kasihan semata-mata bagi mendapatkan pengakuan bahawa mangsa telah mencuri komputer riba.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati, enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh.
Kes seumpama itu akan terus berlaku pada masa depan sekiranya tradisi membuli masih dibiarkan berleluasa di tempat-tempat ‘tertentu’. Kes-kes buli di negara ini banyak dilaporkan berlaku di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta pusat latihan badan beruniform kerana ia berlaku secara tidak sedar. Malah, ada guru dan jurulatih memandang sepi setiap kejadian buli yang dilaporkan kerana menganggapnya isu kecil.
Hakikatnya, kejadian buli boleh mendatangkan pelbagai impak negatif terhadap mangsa termasuk gangguan emosi, kecederaan dan lebih teruk membawa kematian. Dalam dunia serba moden ketika ini, kejadian buli tidak hanya berlaku secara fizikal sahaja, bahkan di media sosial yang dianggap lebih berbahaya.
Buli maya ini berlaku tanpa disedari pembuli itu sendiri. Misalnya, sekumpulan pelajar meninggalkan komen berbentuk negatif terhadap rakan mereka sehingga menyebabkan tekanan emosi.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai kejadian buli, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berpeluang mewawancara penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Pada pandangan tuan, mengapa kejadian buli masih wujud terutamanya dalam kalangan mahasiswa universiti yang dikatakan terpelajar? P
KAMAL AFFANDI: Sebenarnya, masalah ini berlaku atas faktor warisan disebabkan budaya masyarakat di negara ini.
Malangnya, masyarakat melihat kejadian buli ini hanya tertumpu dalam kalangan pelajar sekolah, universiti mahupun pusat badan beruniform.
Hakikatnya, ia wujud di sekeliling kita secara tidak sedar di pelbagai peringkat. Masalah ini berlaku disebabkan masyarakat sendiri yang memilih untuk mendiamkan diri.
Seingat saya, sejak kecil sekitar tahun awal 1970-an, sudah ada buli sehingga sekarang saya sudah berusia 54 tahun, ia masih berlaku.
Jadi, ia bukan sesuatu yang menghairankan, cuma yang berbeza kini adalah bentuk, format, skala dan darjah keganasan sahaja. Mungkin dahulu, buli hanya dalam bentuk ejekan, namun kini lebih kepada fizikal dan sebagainya.
Adakah mereka yang membuli dengan mencederakan fizikal orang lain termasuk dalam kategori mempunyai masalah kesihatan mental?
Jika sebut mengenai mental, ia boleh dikelaskan kepada dua kategori. Pertama secara psikologi, kita cuba menyelami punca utama seseorang itu menjadi pembuli daripada aspek mental.
Satu lagi sudut adalah jenayah. Seseorang itu harus bertanggungjawab terhadap jenayah buli yang dilakukannya.
Saya berpandangan, kita tidak seharusnya mencari atau mencipta satu alasan terhadap perbuatan zalim dilakukan si pembuli.
Langkah ini tidak akan membantu mengatasinya, sepatutnya harus memikirkan sebab seseorang itu menjadi mangsa.
Kebiasaannya, pembuli akan menyasarkan individu yang lebih lemah berbanding mereka.

Sejauh mana filem atau bahan bacaan berunsur keganasan dapat mempengaruhi minda pelajar hingga menyebabkan mereka terikut-ikut dengan aksi yang ditonton dan dibaca ke alam realiti?
Filem dan bahan bacaan bukanlah penyumbang utama kepada tahap keganasan buli yang berlaku ini.
Ini kerana, hanya berapa peratus sahaja filem dan bahan bacaan di negara ini yang mengetengahkan unsur keganasan.
Ia tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana filem dan bahan bacaan banyak juga memaparkan kebaikan. Hakikatnya, sejak langit dan Bumi dicipta oleh Allah, sudah ada kebaikan serta kejahatan.
Misalnya, pada zaman Hang Tuah dahulu ada seseorang mengamuk di dalam kampung menggunakan kapak. Mustahil, orang itu dipengaruhi oleh filem atau bahan bacaan.
Sebaliknya, tindakan mereka itu mungkin disebabkan oleh kegagalan mengawal diri sehingga bertindak agresif dan begitu juga dengan pembuli.
Adakah undang-undang dan hukuman sedia ada tidak memberi kesan kepada mereka yang terlibat kes-kes buli dalam kalangan pelajar sama ada sekolah atau IPT?
Kita tidak seharusnya menyalahkan undang-undang dan penguatkuasaan sebagai punca berlakunya masalah ini.
Pada saya, undang-undang dan hukuman sedia ada sudah memadai untuk menghukum pesalah buli dalam kalangan pelajar sekolah atau IPT.
Buatlah undang-undang keras macam mana pun, saya percaya ia masih akan berlaku dalam kalangan masyarakat.
Misalnya, Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 memberikan penjara seumur hidup kepada pengedar dadah yang mengedar melebihi had tertentu.
Tetapi orang masih mengedar dadah. Undang-undang bukanlah ‘ubat’ utama kepada setiap kejadian jenayah yang berlaku.
Hakikatnya, masyarakat yang harus memainkan peranan mereka dengan tampil ke depan untuk membuat laporan apabila melihat atau mendengar kejadian buli.
Usaha ini sedikit sebanyak dapat mengelak sesuatu kejadian buli itu menjadi lebih parah sehingga membawa kepada kematian.
Bagaimanakan cara terbaik untuk menghentikan budaya buli yang berlaku terutamanya di sekolah dan IPT ketika ini?
Dalam pemulihan ini, kita perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap buli.
Saya melihat, masyarakat kita telah jauh tersasar kerana hanya menghentam dalam media sosial dan tidak mengambil sebarang tindakan bagi mengatasinya.
Saya berasakan, sudah tiba masanya diwujudkan satu platform atau talian untuk memudahkan mangsa-mangsa buli membuat aduan.
Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi boleh contohi talian Nur yang diwujudkan untuk golongan wanita membuat laporan keganasan rumah tangga serta meminta khidmat nasihat.
Dengan adanya talian khas ini, ia dapat memudahkan pihak berkuasa mengetahui sejauh mana serius isu tersebut dan memikirkan kaedah untuk mengatasinya.
Talian ini juga mengurangkan rasa takut kepada pemberi maklumat.
Kita melihat pusat-pusat latihan badan uniform di negara ini masih mengguna pakai konsep ragging terhadap anggota mereka? Adakah ia satu bentuk buli?
Bagi menukar orang awam menjadi anggota beruniform, ia memerlukan satu transisi berbentuk disiplin negatif.
Ia bermaksud satu bentuk ketegasan dilakukan bagi membentuk seseorang itu menjadi insan berguna.
Misalnya, jurulatih akan bercakap dengan nada tegas supaya anggota baharu ini mengikut setiap arahan.
Bagaimanapun, ragging ini tidak seharusnya dijadikan tiket untuk membuli anggota lain secara berlebihan daripada tahap ditetapkan.
Apabila sesuatu ragging berlaku di luar kebiasaan, ia ditakrifkan sebagai satu bentuk keganasan.
Konsep ragging dalam badan uniform sama sekali tidak boleh digunakan dalam masyarakat, terutamanya di sekolah atau IPT.

Selain mengadakan seminar kesedaran berkaitan buli, cukupkah mereka yang terlibat hanya diberi kaunseling dan nasihat berunsurkan agama?
Setiap sekolah perlu melaporkan aktiviti kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas boleh diambil kepada kes-kes buli yang bersifat keganasan.
Bagi kes-kes kecil, pada saya tidak cukup hanya sekadar memberi kaunseling dan nasihat berunsur agama sahaja.
Sebaliknya, kita boleh menggunakan kaedah lebih kreatif dengan menyediakan platform bagi memudahkan pembuli menyalurkan tenaga negatif kepada positif.
Misalnya, jika seseorang itu mempunyai sikap marah yang kuat, ia boleh disalurkan dalam bentuk sukan lasak seperti gusti dan sebagainya.
Selain buli bentuk fizikal, terdapat juga mangsa dibuli dari segi mental akibat kritikan melalui media sosial. Sejauh mana buli dalam bentuk ini memberi kesan negatif kepada seseorang?
Seseorang yang dibuli secara mental dengan teruk apabila disimpan terlalu lama boleh memberi impak sangat buruk.
Salah satunya, mereka lebih gemar menyendiri daripada orang ramai bagi mengelak terus dibuli.
Satu lagi kesannya, mereka boleh melepaskan beban emosi itu dengan bertindak di luar jangkaan termasuk membunuh diri.
Buli maya ini satu cabaran baharu yang perlu ditangani segera.
Pihak berkuasa perlu memikirkan kaedah baharu bagi membendung masalah ini dan tidak boleh mengguna pakai cara ortodoks lagi.














