fbpx
HANA mengalami kemurungan selepas keluarga sendiri tidak percaya dengan apa yang diceritakannya. – GAMBAR HIASAN

Gadis tak maafkan bapa yang merogolnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHIDUPAN mangsa rogol biasanya mengalami trauma yang amat sangat kerana tertekan dengan peristiwa hitam yang berlaku hingga ada yang sanggup mengambil keputusan nekad untuk membunuh diri.

Itu yang berlaku kepada seorang wanita yang kini berusia 23 tahun. Dia mengalami peristiwa hitam sejak berusia enam tahun selepas dinodai bapa sendiri yang bertopengkan watak seorang lelaki yang kononnya alim dan warak.

Memandangkan keluarga sendiri tidak percaya apa yang diluahkannya, dia nekad mengelar tangan untuk membunuh diri. Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan keluarga sendiri.
———————————————————————————————————————————
SEORANG bapa sepatutnya menjadi pelindung dan hero kepada anak perempuannya, tetapi malangnya apabila nafsu menguasai diri, ada yang sanggup merosakkan masa depan darah daging sendiri semata-mata untuk mengikut bisikan syaitan itu.

Hana, 23, (bukan nama sebenar) merupakan salah seorang mangsa kerakusan nafsu seorang lelaki bergelar bapa sehingga hidupnya hancur dan masa depannya gelap-gelita.

Bayangkan, seawal usia enam tahun dia telah diperlakukan tidak senonoh oleh bapanya.

Pada usia sementah itu, Hana tidak mengerti apa-apa sehinggalah dia menyedari perbuatan tersebut adalah salah apabila memasuki alam sekolah rendah.

“Ayah membawa saya masuk ke dalam bilik senyap-senyap dan dia mula melampiaskan nafsu tanpa rasa kasihan atau bersalah, sedangkan saya ini anak kandungnya sendiri.

“Pada awalnya, saya tidak faham kenapa ayah berbuat demikian. Setelah usia meningkat, saya mula rasa tidak selesa dan berasakan perbuatan tersebut sangat keji,” katanya memulakan bicara.

Mungkin pada pandangan orang, ayahnya terlalu membelai manja Hana kerana dia adalah satu-satunya anak perempuan daripada empat beradik.


HIDUP Hana umpama berada dalam neraka selepas dia sering dinodai ayah kandung yang sepatutnya menjadi pelindung dirinya. – GAMBAR HIASAN

Namun, sebaliknya hidup wanita itu bagaikan berada di dalam neraka.

Ayahnya yang mempunyai perwatakan baik, alim dan juga ahli jawatankuasa masjid sama sekali tidak disangka mempunyai perangai sejijik itu sehingga sanggup ‘meratah’ anak sendiri.

“Saya ada memberitahu abang, ayah melakukan perbuatan terkutuk itu, tetapi mereka tidak percaya. Malah saya dituduh cuba memburuk-burukkan bapa sendiri.

“Sejak itu, saya hilang kepercayaan kepada ahli keluarga dan emak pula terlalu percaya serta taat kepada ayah sehingga sukar untuk meluahkan bebanan yang bersarang di hati ini,” ceritanya dengan linangan air mata yang sukar untuk ditahan.

Sehubungan itu, Hana berasa sangat tertekan dan hilang pedoman hidup sehingga dia nekad mengelar tangan untuk membunuh diri, tetapi sempat diselamatkan oleh ahli keluarga, kemudian dirawat di hospital.

Oleh kerana sikap Hana yang dilihat memberontak dan kurang baik itu, abangnya mencadangkan agar wanita itu dihantar ke pondok pengajian agama agar jiwanya lebih tenang.


HANA mengalami trauma selepas diperkosa bapa sendiri dan perlu mengambil pil untuk menenangkan jiwa. -GAMBAR HIASAN

Di pondok pengajian itu, Hana berasakan jiwanya sangat tenang dan bebas kerana berada jauh daripada lelaki yang sangat dibenci serta berasa sangat jijik memanggilnya ayah.

“Saya tidak pernah menganggapnya ayah. Di dalam hati ini penuh dengan kebencian serta dendam yang tidak pernah padam walaupun dia telah meninggal dunia tiga tahun lalu.

“Abang-abang ada memujuk saya supaya memaafkannya, tetapi hati ini terlalu sakit dan luluh jiwa untuk mengucapkan perkataan tersebut,” ujarnya yang masih mencuba untuk memaafkan lelaki itu.

Hana berkata, oleh kerana peristiwa hitam itu, dia mengalami trauma yang sangat dahsyat sehingga memerlukan bantuan daripada pakar psikiatri dan perlu mengambil pil bagi menenangkan jiwanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN