fbpx

PRN Melaka: Serangan peribadi cemari kempen PRN Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Serangan peribadi terhadap calon dan pemimpin politik menjadi senjata pada hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Begitu juga dengan dakwaan berlaku perbuatan cuba membeli sokongan pengundi sekaligus mencemari sebuah kempen pilihan raya yang telus dan budiman.

Pakar sosiologi dan politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, serangan peribadi merupakan satu strategi pembunuhan karakter untuk mengeksploitasi emosi pengundi.

“Pada saat-saat akhir ini apa sahaja taktikal, pendekatan dan strategi akan digunakan. Pendekatan psikologi digunakan untuk memberi imej yang buruk kepada parti atau calon.

“Mengurus persepsi disebabkan serangan peribadi yang menimbulkan kemarahan sukar untuk diuruskan. Pendekatan itu mudah untuk mengeksploitasi undi dan sokongan.

“Tetapi saya rasa rata-rata pengundi (PRN Melaka) sudah membuat keputusan kecuali `atas pagar’ dan mereka yang mahu membuat protes,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sivamurugan berkata, politik wang pula kerap didengari dalam kebanyakan pilihan raya sebelum ini, namun ia sesuatu yang sukar untuk dibuktikan.

Menurut beliau, takrifan tentang politik wang yang kurang jelas menyebabkan ada tingkah laku yang dikompromi maka terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

“Jika ada bukti boleh diambil tindakan kerana kita pernah melihat beberapa insiden itu yang dibawa ke mahkamah sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, walau apa taktikal digunakan oleh parti bertanding yang penting semasa hari mengundi esok segalanya terpulang kepada rakyat Melaka.

“Bagi saya pengundi PRN Melaka mesti memikirkan tentang masa depan Melaka, kestabilan, pastikan (kerajaan) tidak lagi `tergantung’.

“Membuat keputusan yang rasional dan praktikal, bukan emosional dan keputusan yang akan turut memberi pengajaran kepada pemimpin dan parti,” – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI