ALOR SETAR – “Saya nak berterus teranglah, di GLC (anak syarikat berkaitan kerajaan) nampak ada yang jadi kartel. (Kalau) 10 sebut harga (projek) masuk, sembilan dia (kartel) punya.”
Itu pendedahan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.
Menurut Muhammad Sanusi, kartel yang wujud dalam GLC di negeri itu dipercayai telah dikuasai oleh tauke-tauke besar.
Katanya, mereka kini semakin mencengkam dan menguasai kebanyakan projek GLC di peringkat negeri dan juga pusat.
“Ini bukan berlaku di state (negeri) sahaja, di federal pun berlaku. Di semua tempat, sudah ada kartel-kartel yang begitu mencengkam, di agensi-agensi atau tempat di mana duit (boleh) dijana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun) berkaitan peranan kerajaan negeri dalam isu persaingan antara syarikat perniagaan dengan usahawan-usahawan kecil.
Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan negeri kini mengisytiharkan ‘perang’ terhadap kartel dalam GLC yang memonopoli tender projek-projek di Kedah.
Katanya, beliau sedang meneliti perkara tersebut dan mencari langkah terbaik untuk membanteras kartel-kartel tersebut.
“Saya sedang teliti perkara ini dan mencari langkah bagaimana nak membanteras kartel-kartel yang dikuasai oleh tauke-tauke besar,” ujarnya.
Jelasnya, GLC sebenarnya ditubuhkan kerajaan dengan tujuan untuk diberi projek-projek kerajaan bagi membantu kontraktor-kontraktor kecil di bawah konsep ‘Payung’.
“Saya fikir perkara-perkara seperti ini perlu diberi pertimbangan semula. Kalau GLC tidak mampu lagi melaksanakan konsep ‘Payung’ untuk membangunkan kontraktor kecil yang kita hasratkan itu, saya kira elok cukup setakat itu sahajalah.
“Insya-Allah perkara ini akan diberikan perhatian. Saya harap sahabat-sahabat saya di GLC turut mengamalkan konsep bersyukur dan sabar,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan pihak pengurusan dan eksekutif tertinggi dalam GLC di negeri ini kerana pelantikan mereka adalah secara kontrak berasaskan merit.
Ujarnya, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk menangani masalah berkenaan.
“Kalau mereka didapati tidak dapat menguruskan dan berperanan dengan baik sehingga mengalami kerugian, kontrak tidak akan disambung,” tegasnya.















