fbpx

Polis Kelantan lupus dadah RM55.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (kiri) menunjukkan dadah-dadah yang akan dimusnahkan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan esok selepas sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan melupuskan barang kes melibatkan 11 jenis dadah yang telah selesai prosedur mahkamah bernilai lebih RM55.7 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua dadah-dadah yang akan dilupuskan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan esok itu merupakan sebahagian barang kes hasil rampasan bermula 2007 hingga tahun ini.

Menurutnya, barang kes yang akan dimusnkan itu terdiri daripada dadah jenis heroin seberat 0.42 kilogram (kg), methamphetamine (1,510.7 kg), cannabis (1,245.5 kg) dan nimetazepam (0.04 kg).

“Selain itu, polis turut melupuskan dadah jenis pil kuda seberat 5.02 kg, ekstasi (0.014 kg), cecair kodein (36.8 kg), diphenhydramine (4 kg), pil psikotropik (0.069 kg), erimin 5 (0.13 kg) dan methadone (11.5 kg).

“Kesemua barang kes tersebut dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah selepas prosiding perbincaraan selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman bagi pesalah kes terbabit tamat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Kelantan di IPK Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Shafien, pelupusan barang kes itu akan dilaksanakan oleh kontraktor bertauliah dan profesional dengan kos pengurusan yang diperuntukkan sebanyak RM33,000.

Beliau berkata, kesemua barang kes yang dilupuskan itu dilakukan selepas siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1952, Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Hak) 1988 dan Akta Racun 1952 selesai.

Dalam perkembangan sama, menurut Shafien, polis Kelantan telah berjaya menangkap seramai 10,373 orang yang terlibat dalam kes dadah membabitkan 8,230 kes dadah dengan nilai lebih RM52.2 juta bermula Januari hingga Oktober lalu.

Ujarnya, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 45 peratus berbanding tahun lalu iaitu 15,547 tangkapan melibatkan 12,280 kes dengan nilai rampasan RM94.8 juta.

“Dalam tempoh 10 bulan pada tahun ini, kita berjaya menumpaskan sebanyak enam sindiket dadah dengan jumlah tangkapan seramai 17 orang.

“Kesemua suspek yang terlibat dalam sindiket itu kini sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI