fbpx

Helikopter AW139 TLDM siap dibina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DELEGASI Malaysia bergambar di hadapan helikopter AW139 ketika tinjauan di fasiliti firma Leonardo di Vergiate, Itali baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima tiga buah helikopter operasi maritim (HOM) pada awal tahun hadapan sepertimana yang dijadualkan.

Ketika ini, pesawat-pesawat berkenaan yang dibina oleh firma Leonardo sedang menjalani ujian di premis Leonardo Helicopter, Vergiate, Itali.

TLDM menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi memberitahu, helikopter AW139 itu dijangka akan memasuki perkhidmatan TLDM pada suku tahun kedua 2022.

Menurut hantaran tersebut, kemajuan program perolehan pesawat berkenaan dilihat menerusi Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan Projek Ketiga yang berlangsung di kilang firma pengeluarnya pada Khamis lalu.

“Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Muez Abd. Aziz bagi membincangkan status pembinaan dan kemajuan projek bagi HOM TLDM.

“Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany. Delegasi dibawa melihat sendiri proses pemasangan helikopter dengan lebih dekat,” ujar hantaran berkenaan.

Panglima TLDM dan delegasi turut berpeluang untuk mengikuti penerbangan bagi dua buah HOM yang telah sedia untuk menjalani fasa prapemeriksaan dalam masa terdekat.

TLDM ketika ini telah mengoperasikan masing-masing enam helikopter Super Lynx dan AS555SN Fennec sejak 2003.

Perolehan tiga buah HOM dengan peruntukan kira-kira RM220 juta ini bakal menggandakan lagi keupayaan Unit Udara TLDM termasuk dalam operasi hantaran udara.

Model AW139 merupakan helikopter saiz sederhana yang terbaik dalam kelasnya turut digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan lebih 900 pesawat telah dibina.

Terbaru, Tentera Udara Diraja Malaysia juga memilih helikopter ini menerusi sewaan daripada sebuah firma tempatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI