fbpx

Adibah Noor, selalu jadi juri, kali ini jadi peserta GV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIBAH NOOR

ADIBAH Noor. Sepotong nama yang tidak asing lagi dalam industri seni hiburan tanah air.

Mulutnya yang berbisa dan lantang memberikan komen atau kritikan dalam apa jua perkara lebih-lebih lagi melibatkan hal nyanyian membuatkan ramai terkunci kata-kata.

Diumumkan sebagai salah seorang daripada 13 peserta yang akan berentap dalam Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Adibah terbuka dan sudah bersedia menerima apa jua kritikan terhadap persembahannya kelak.

Dalam erti kata lain, keputusan menyertai GV8 merupakan persetujuannya untuk menerima sebarang kritikan serta dinilai barisan juri profesional.

“Saya terima untuk dihakimi dan dikritik secara terbuka. Kalau berani buat, saya juga kena berani terima.

“Kalau sebelum ini saya selalu kritik, adili orang dan kerap jadi juri, kali ini saya kena terima pula giliran untuk dihakimi.

“Saya sangat terbuka kerana mereka semua pakar. Mereka (juri) bukan calang-calang dan dalam setiap komen pasti ada nilai,” katanya pada sidang media GV8 baru-baru ini.

Tambah pemilik nama lengkap Adibah Noor Mohamed Omar, 49, itu, dia akan cuba menjadikan segala kritikan dan komen membina sebagai satu proses pembelajaran bagi menambah baik kualiti persembahannya nanti.

“Kalau sebelum ini, semua tahu saya orang yang jenis kuat protes, tegas, lantang bersuara dan banyak mengeluh.

“Tapi lepas ini, saya akan jadi seorang anak murid yang baik serta cuba belajar. Kalau tak boleh ikut untuk sesuatu perkara, saya akan beritahu.

“Lagipun yang kritik itu nanti semua yang kita kenal dan sanjung tinggi. Hati saya pun dah tebal dan sedia terima itu semua,” katanya.

Mengakui sudah lama tidak menyanyi di pentas berskala tinggi, rasa gemuruh dan takut tetap ada lebih-lebih lagi akan bersaing dengan peserta-peserta hebat lain.

“Saya akui semua peserta yang bertanding ada pengalaman masing-masing. Kami semua akan bersaing secara terbuka dan sihat.

“Dalam pertandingan lumrahnya pasti ada menang dan kalah. Tipulah kalau saya tak ada langsung perasaan gemuruh.

“Tipu jugalah kalau saya tak ada perasaan dan keinginan untuk menang atau sekurang-kurangnya berada di kedudukan tiga teratas,” ujarnya yang mengakui Nikki Palikat dan Aweera antara yang menjadi saingan utama dalam GV8.

Dalam pada itu, pelantun lagu Terlalu Istimewa itu berkata, sudah tiba masanya untuk dia membuat kemunculan semula memandangkan sekian lama tidak beraksi di pentas nyanyian yang dirinduinya.

Konsert mingguan GV8 akan mula bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya selama 10 minggu pada setiap Ahad, pukul 9 malam bermula 21 November dan dipancarkan secara eksklusif menerusi Astro Ria.

Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI