PUTRAJAYA – Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 yang julung kali dianjurkan meraih sejarah tersendiri apabila dua programnya direkodkan dalam The Malaysia Book of Records.
Dua rekod tercipta masing-masing Penganjuran Pertama Festival Silat Secara Maya dan Demonstrasi Aliran Perguruan Silat Terbanyak Secara Maya di negara ini.
Demonstrasi disertai 46 aliran perguruan silat dari pelbagai negeri itu mencipta sejarah apabila mempamerkan silat perguruan masing-masing dalam satu platform secara maya.
Detik bersejarah itu turut disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Nazari Ahmad.
Rekod itu turut disaksikan Pengarah Pembangunan Perniagaan The Malaysia Book of Records, Jean Heah Yeow.
Shahidan dalam ucapannya berkata, beliau berharap usaha menyatukan 46 aliran perguruan silat berkenaan dapat membantu memartabatkan dan menaikkan lagi imej silat negara supaya lebih dikenali di mata dunia. – K! ONLINE