fbpx

Ancaman demam campak meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang bayi menerima rawatan demam campak di sebuah hospital di bandar Sanaa, Yemen, 21 Mac lepas. – AFP

WASHINGTON – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memberi amaran bahawa ancaman global melibatkan penyakit demam campak kini makin buruk selepas 22 juta bayi gagal mendapatkan suntikan vaksin campak akibat pandemik Covid-19, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Virus demam campak adalah antara yang paling mudah berjangkit dan telah membunuh lebih 60,000 individu setahun dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak.

Menurut CDC, kes jangkitan demam campak yang dilaporkan adalah berkurang pada tahun 2020 berbanding tempoh sama antara 2017 hingga 2019.

Bagaimanapun, agensi tersebut berpendapat ia bukanlah satu berita baik.

“Penularan besar-besaran wabak demam campak pada tahun 2020 menunjukkan bahawa jangkitan penyakit tersebut tidak dilaporkan,” kata CDC dalam laporan mingguannya.

Tambah agensi itu, berjuta-juta kanak-kanak terlepas daripada mendapatkan suntikan vaksin demam campak akibat pandemik Covid-19.

“Lebih 22 juta bayi terlepas suntikan dos pertama demam campak, iaitu tiga juta orang lebih ramai berbanding tahun 2019 dan ia merupakan peningkatan tahunan terbesar dalam tempoh 20 tahun,” jelas CDC.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imunisasi, Vaksin dan Biologi Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr. Kate O’Brien berkata, meskipun kes demam campak adalah berkurang pada tahun 2020, bukti menunjukkan bahawa ancaman wabak itu terus meningkat di seluruh dunia.

“Adalah penting untuk negara-negara memberi vaksinasi Covid-19 kepada penduduknya dengan kadar segera, namun ia memerlukan sumber-sumber baharu supaya tidak mengganggu program-program imunisasi asas,” katanya. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI