fbpx

Peduli Insan dan In-team bergabung bantu pelarian Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) dengan kerjasama kumpulan nasyid In-team telah melancarkan kempen Musim Sejuk Syria untuk tahun 2021 dan 2022.

PETALING JAYA – Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) dengan kerjasama kumpulan nasyid In-team telah melancarkan kempen Musim Sejuk Syria untuk tahun 2021 dan 2022 bagi membantu pelarian- pelarian di wilayah utara Syria dalam mengharungi musim sejuk.

Pengerusi Peduli Insan, Mohd. Luqmanulhakim Mohd Rezuan, berkata, kempen Musim Sejuk Syria tahun lepas telah berjaya membantu 60,000 buah keluarga dan kali ini akan mensasarkan bantuan barangan keperluan asas seperti alat pemanas dan bakul makanan.

“Kempen kali ini akan tertumpu kepada dua iaitu Selimut Kasih Syria dan Suapan Kasih Syria. Inisiatif Selimut Kasih Syria adalah dari segi membekalkan pakaian, bahan bakar, alat pemanas dan juga selimut supaya mereka dapat menghadapi musim sejuk dengan keadaan selamat.

“Manakala Suapan Kasih Syria akan tertumpu kepada bakul makanan yang mengandungi barangan asas, makanan panas dan juga pelaksanaan sembelihan buat ibadah akikah, nazar dan sedekah untuk diberikan kepada penduduk di kem-kem pelarian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut salah seorang anggota In-team, Muhammad Hazamin berkata, pihaknya dan peminat berasa teruja dengan peluang kerjasama dan kepercayaan yang diberikan oleh Peduli Insan terhadap mereka.

“Peminat In-team memberikan reaksi baik serta sokongan penuh di atas kerjasama ini dan hasil sumbangan yang telah terkumpul sejak permulaan kolaborasi bersama Peduli Insan sehingga bulan Oktober lalu telah mencapai kutipan dana sehingga RM370,000,” ujarnya.

Difahamkan, setiap sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan kepada kira-kira 250,000 pelarian Syira dan mereka yang ingin menderma boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 1203 8010 1363 75 di bawah nama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Pegawai Perhubungan Awam dan Media Pertubuhan Peduli Insan Malaysia di talian 016 770 6432 atau melalui lawan web rasmi Peduli Insan di www.peduliinsan.org.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI