fbpx

KL City bertemu Selangor FC di suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KL City, Hadin Azman mengasak tonggak Sri Pahang, Abubakar Yakubu dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi. - Foto Sri Pahang

PETALING JAYA – Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) meneruskan momentum cemerlang apabila muncul juara Kumpulan A selepas merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Pada aksi ‘pelengkap jadual’ tersebut, skuad tuan rumah memiliki peluang keemasan pada awal saingan menerusi ledakan Abdul Malik Mat Arif tetapi rembatan yang dilakukan berjaya dikeluarkan oleh pemain tengah, Kenny Pallraj di atas garisan ketika penjaga gol skuad warga kota sudah pun tertewas.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh skuad kendalian Bojan Hodak yang berjaya memanfaatkan peluang keemasan hasil ledakan Zhafri Yahya pada minit ke-83 selepas menerima hantaran cantik daripada Paulo Josue.

Kemenangan tersebut menyaksikan KL City gah menjuarai Kumpulan A dengan 14 mata dan bakal bertemu skuad Gergasi Merah yang muncul naib juara Kumpulan B.

Dalam satu lagi aksi terakhir peringkat Kumpulan A, skuad Penang FC mencatat kemenangan pada perlawanan penutup tirai dengan menewaskan Sarawak United dengan keputusan 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Gol-gol jaringan skuad Harimau Kumbang dilakukan oleh Jafri Firdaus Chew pada minit ke-12 dan Amer Azahar (m-43) manakala jaringan saguhati skuad tuan rumah dilakukan oleh Christie Jayaselan (m-7).

Kekalahan tersebut tidak menjejaskan status Sarawak United yang kekal selaku naib juara Kumpulan A dengan mengutip 10 mata dan bakal bertemu juara Kumpulan B, Terengganu FC pada aksi suku akhir Piala Malaysia nanti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI