fbpx

Peluang lahir pemain baharu skuad kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIL (tengah) percaya ketiadaan pemain kebangsaan dalam edisi Piala Tun Abdul Razak 2021 kali ini memberi peluang kepada kejurulatihan Malaysian Tigers untuk mencungkil bakat baharu.

KEJOHANAN hoki Piala Tun Abdul Razak 2021 yang akan membuka tirainya bermula hari ini sehingga 20 November depan membawa sedikit kelainan apabila tidak ada seorang pun pemain kebangsaan mewakili pasukan-pasukan bertanding.

Walaupun keadaan itu dikatakan menyebabkan kejohanan kurang berseri, namun ia pastinya memberi kelebihan kepada semua pemain bagi membuktikan mereka layak untuk berada dalam skuad hoki kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh percaya ketiadaan pemain kebangsaan dalam edisi kali ini memberi peluang kepada kejurulatihan Malaysian Tigers untuk mencungkil bakat baharu.

Beliau berkata, kejohanan tersebut adalah pentas paling sesuai buat Pengarah Teknikal (Pembangunan) MHC, Paul Revington serta ketua jurulatih skuad kebangsaan, Arul Selvaraj untuk menilai kemampuan pemain.

“Saya fikir, itu (ketiadaan pemain kebangsaan) lebih baik kerana kita tidak perlu fokus untuk lihat prestasi pemain kebangsaan sahaja. Inilah masa kita cari bakat baharu untuk pasukan kebangsaan dan negeri.

“Berhubung potensi untuk diserap dalam skuad Piala Dunia Remaja 2023, itu terpulang kepada Arul dan Paul untuk menilai pemain-pemain ini. Jika mahu cari pemain pelapis, inilah masanya,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Difahamkan, penyokong juga dibenarkan untuk masuk ke stadium bagi menonton setiap perlawanan dengan kemasukan 60 peratus selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi saya mudah sahaja, penonton-penonton yang datang nanti pastikan berada dalam keadaan sihat serta ikut peraturan ditetapkan. Saya harap kemasukan minimum adalah 60 peratus dengan ada penjarakan sosial,” ujar Anil.

Sebagai rekod, Perak akan turun pada kejohanan kali ini sebagai juara bertahan bagi kategori lelaki manakala dalam saingan wanita pula menyaksikan Pahang sedia mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI