fbpx

Kerajaan komited selesaikan isu doktor kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar komited memastikan isu berkaitan lantikan pegawai perubatan kontrak ke perjawatan tetap akan diselesaikan segera.

Beliau berkata, pendiriannya dengan Ketua Pembangkang tidak jauh berbeza di mana beliau juga berpendapat bahawa pegawai kontrak perlu dilantik secara tetap.

“Pendirian saya dengan Ketua Pembangkang tidak jauh berbeza. Sekarang ini, kita lihat daripada 10,000 orang, berapa ramai yang diperlukan dari segi unjuran keperluan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya rasa, pendirian saya juga menghampiri Ketua Pembangkang. Apa yg diperlukan adalah mereka perlu dilantik secara tetap,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang ingin tahu implikasi kewangan kepada kerajaan serta jaminan pelantikan pegawai perubatan lepasan siswazah secara tetap.

Menurut beliau, daripada 10,583 pegawai yang telah tamat tempoh khidmat wajib, 4,186 pegawai telah dinilai boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lantikan secara tetap.

“Jumlah yang diperlukan untuk tahun depan (2022), permohonan 4,186 perjawatan pelantikan tetap yang meliputi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian, 300 pegawai farmasi adalah RM377,485,089.00.

“JPA meminta unjuran daripada KKM berkenaan berapa ramai doktor yang diperlukan untuk tahun-tahun mendatang dan sebab itu kita dalam proses menyediakan unjuran, supaya kita dapat kemukakan kepada JPA dan Kementerian Kewangan berkenaan keperluan berdasarkan unjuran dan keperluan untuk doktor ini dilantik secara tetap,” jelasnya.

Khairy Jamaluddin juga menegaskan, beliau tidak dapat memberi jaminan untuk melantik semua pegawai perubatan yang berkhidmat secara kontrak sebagai perjawatan tetap.

Katanya, sejak akhir 2016, setiap pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak lebih 24,000 orang, namun yang ditawarkan secara tetap hanya 1,000 orang sahaja.

“Ia adalah masalah legasi lama yang perlu kita atasi segera. Saya tidak pasti sama ada kita dapat serap semua yang ada di bawah kontrak.

“Namun, kita mula dengan unjuran keperluan dahulu dan saya pasti unjuran keperluan itu kita akan usahakan supaya jumlah itu dapat kita serapkan untuk dimasukkan dalam perkhidmatan tetap,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI