fbpx

Henti keji staf ‘gomen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

“Penjawat awam menghabiskan dana kerajaan sahaja. Penjawat bukan kerja bersungguh-sungguh pun. Kurangkan sahaja bilangan penjawat awam.”

Itulah ungkapan yang se­ring kita dengar daripada golongan yang beranggapan penjawat awam ini rendah ‘kasta’ mereka.

Tak cukup dengan tohmahan sedemikian, setiap cacian dan makian yang dihamburkan tidak kira secara nyata ataupun menerusi platform online akan dipadankan dengan pujian terhadap pekerja swasta.

Pekerja swasta akan diangkat darjatnya setinggi mungkin, bahkan tidak ketinggalan pujian diberikan bahawa mereka merupakan kuasa membeli dalam pasaran.

Entah di mana silapnya sehingga penjawat awam dipandang rendah oleh segelintir masyarakat. Isu ini bukanlah baru timbul, bahkan sejak sekian lama lagi dapat dilihat.

Ia lebih-lebih lagi apabila pelbagai peruntukan dana diberikan kepada penjawat awam, terutamanya setiap kali sesi pembentangan Bajet.

Terbaharu, kerajaan mengu­mumkan peruntukan dana bantuan tunai sebanyak RM700 kepada penjawat awam serta RM350 kepada para pesara kerajaan menerusi Bajet 2022.

Menurut Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md. Shukri Shuib berkata, ia merupakan langkah baik sebagai satu instrumen perbelanjaan kerajaan bagi membolehkan edaran tunai secara besar-besaran ke dalam pasaran dapat dilakukan.

“Ini adalah langkah suntikan tunai berkala bagi merancakkan sektor peruncitan dan mewujudkan permintaan ke atas produk dan perkhidmatan.

“Di samping itu, ia juga sebagai penampung kos kepada belanja isi rumah ke atas perkhidmatan berunsur capaian digital dan alatan berkaitan kerja dari rumah,” katanya.

Selain itu, katanya, dana tunai yang disalurkan kepada penjawat awam juga merupakan satu penghargaan awam kepada sektor tersebut, apatah lagi ia membabitkan gred 56 dan ke
bawah.

“Ini bukan satu pembaziran dana ketika negara sedang bergelut memulihkan ekonomi tetapi di sudut positif, ia dapat melegakan isi rumah dari segi sokongan motivasi dan penghargaan.

“Selain daripada tunai di ta­ngan dapat ditambah, ia meningkatkan kuasa beli secara sementara dan ini kelebihan apabila dana kerajaan diperuntukkan secara tunai,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kong­res Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, orang ramai tidak boleh melihat kepada sedikit manfaat yang diterima oleh penjawat awam semata-mata.

Sebaliknya, ujar beliau, mereka perlu melihat amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh penjawat awam bagi memastikan setiap inisiatif dapat disampaikan kepada rakyat.

“Komitmen kerajaan mendukung penyampaian perkhid­matan awam adalah untuk memberikan perkhidmatan berintegriti dan menentukan ke­telusan tadbir urus kerajaan terus dipergiat bagi memastikan penyampaian terbaik kepada rakyat.

“Di sebalik inisiatif yang diterima dalam Bajet 2022, sebenarnya tugas berat menanti setiap warga perkhidmatan awam bagi menjayakan strategi dalam belanjawan tersebut termasuk perancangan yang ditetapkan kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Justeru itu adalah sangat wajar untuk kerajaan terus mendukung penyampaian perkhid­matan awam terutama melalui inisiatif pembaharuan dalam penyampaian perkhidmatan di samping memelihara kebajikan penjawat awam,” katanya.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI