fbpx

Mahfuz menang saman fitnah dapat ganti rugi RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahfuz

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berhubung kenyataan fitnah isu pemindahan Sports Toto melalui hantaran Facebook dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan Mahfuz sebagai plaintif dalam saman fitnah itu yang difailkannya terhadap Muhammad Sanusi selaku defendan.

Peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Mahfuz ketika dihubungi media berkata mahkamah memerintahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi tersebut dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

“Mahkamah juga memerintahkan defendan (Muhammad Sanusi) menulis permohonan maaf di laman facebook miliknya terhadap plaintif (Mahfuz) dalam tempoh 14 hari dan memerintahkan defendan membayar kos tindakan guaman kepada plaintif berjumlah RM15,000.

“Perintah-perintah lain yang dikenakan ialah satu injunksi menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan,” katanya selepas keputusan kes saman itu yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

Dalam prosiding hari ini peguam Yusfarizal Yussoff dan Moh. Faizi Che Abu yang mewakili Muhammad Sanusi.

Terdahulu perbicaraan kes itu telah berlangsung pada 26 Ogos lalu dengan dua saksi plaintif termasuk Mahfuz dan seorang saksi defendan iaitu Muhammad Sanusi dipanggil memberi keterangan.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran yang dibuat oleh Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sports Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7.57 minit di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sports Toto di Pokok Sena sambil memegang pelanduk yang tertera nama plaintif. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI