fbpx

Takkan sampai tua nak jadi jahat, jahil – Yusuf Bahrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSUF BAHRIN

KEHIDUPAN adalah perjalanan, bukan destinasi. Dalam mengejar perihal duniawi, kadang-kadang kita alpa tujuan asal menjalani hidup ini yang penuh dengan rintangan mematangkan dan mendewasakan. Buat pemilik nama lengkap, Muhammad Yusuf Bahrin atau nama pentasnya, Yusuf Bahrin, berdiri pada jasad usia 29 tahun, sudah banyak kemanisan hidup pinjaman Ilahi dikecapi.

Sungguh, tiada manusia yang sempurna dan akui Yusuf, dia banyak melakukan khilaf selama hidup, terutama ketika darah muda menguasai jiwa. Jika direnung dan difikirkan semua, dia hanya mampu menggelengkan kepala menyesali dan muhasabah diri untuk menjadi lebih baik dari semalam.

Perlahan-lahan aturan hidupnya dicermatkan dan didudukkan pada posisi selayaknya. Setahun sebelum melangkah usia 30 tahun, Yusuf menyatu cinta dengan si isteri, Zizi Kirana atas ikatan suci bernama pernikahan.

ENGGAN mengulas lanjut tentang isu ‘langgar kontrak’ melibatkan isterinya dengan seorang penerbit, Yusuf sebagai suami, hanya menasihatkan Zizi agar menyelesaikan setiap permasalahan dengan cara baik tanpa perlu mencanang siapa betul atau siapa salah.

Dahulu hidup huru-hara

“Hidup selepas berkahwin, lebih teratur. Dahulu hidup bujang dan boleh kata huru-hara semua benda. Bangun tidur tiada orang kejut, nak makan, masak sendiri dan bermacam hal lain.

“Sekarang bangun tidur bini kejutkan. Hidup lebih mudah dan saya percaya, menjadi tanggungjawab kami untuk mempermudahkan kerja masing-masing, insya-Allah,” katanya membuka bicara ketika ditemu bual Pose menerusi satu panggilan telefon pada Khamis.

Disalurkan pernyataan tentang perkahwinan yang disifatkan jambatan meluaskan kitaran rezeki, Yusuf mengiyakan perkara tersebut.

Katanya, penyatuan Adam dan Hawa melalui ikatan perkahwinan yang sah memberi erti baharu dalam kamus kehidupan.

“Betul. Saya percaya, Allah janji rezeki murah selepas kahwin dan itulah yang sedang berlaku sekarang. Bukan hanya dari segi wang ringgit tapi dari segi kesihatan tubuh badan, kasih sayang, waktu dan banyak lagi.

“Memang Allah dah janjikan semua yang baik-baik apabila kita pasang niat nak mendirikan masjid dan jadikan kenyataan. Cuma kita perlu kendalikan semuanya dengan teratur dan penuh taqwa. Nak istiqamah buat baik itu bukan mudah tapi kita berpaut pada keyakinan terhadap Ilahi sahaja,” ujarnya.

Melanjutkan perbualan, Yusuf yang mula mencuri tumpuan industri menerusi karakter Rahman dalam drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa tidak malu untuk mengakui masa lampaunya sebagai pendosa, namun sentiasa mencuba terbaik untuk memperbaiki diri ke jalan diredai Allah.

“Sebelum ini, saya ambil mudah tentang agama. Contohnya, waktu solat dah masuk tapi kadang-kadang terlepas dan solat di hujung waktu atau melengah-lengahkannya.

“Sekarang, bukan nak cakap sudah sempurna atau baik, tapi saya terfikir, kalau nyawa saya dicabut sewaktu seronok buat dosa dahulu, bagaimanalah pengakhiran hidup saya.

“Bukan senang nak ikhlaskan apa yang sedang berlaku dalam hidup tetapi itu yang saya perlahan-lahan lazimkan.

“Ikhlas bukan satu perkara yang senang-senang nampak, Allah sahaja yang nampak semuanya,” tutur Yusuf yang menamatkan zaman bujang dengan Zizi Kirana pada 19 September lalu.

SELEPAS hampir dua bulan melayari bahtera perkahwinan bersama Zizi, Yusuf baru mengetahui bahawa isterinya itu bukan sahaja seorang yang ‘happy go lucky’, bahkan juga seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan, terutama dalam perihal kerja.

Jadi imam isteri

Berkongsi momen terindah selepas menjawat peranan sebagai suami, Yusuf memaklumkan, banyak perkara indah berlaku dalam hidupnya. Semakin hari, semakin jelas dia melihat dunia sekadar persinggahan. Akhirat selama-lamanya.

Antara perkara indah adalah berpeluang menjadi imam kepada isteri tersayang. Katanya, sebelum ini bacaannya dalam solat pun tergagap-gagap, tidak lancar dan tiada keyakinan untuk menjadi imam.

“Sebelum ini, nak jadi imam untuk kawan-kawan pun tak berani. Sebab bacaan tak lancar. Sejak berkahwin, semuanya dipermudahkan.

“Sekarang, bersemangat membaca surah-surah pendek sebab jadi imam kepada isteri. Tidak kisahlah surah al-Ikhlas, an-Nas ke. Allah tahu kita sedang cuba perbaiki diri.

“Insya-Allah, perlahan-lahan. Kalau dahulu tak tahu banyak benda tetapi kalau ada usaha, urusan pasti akan dipermudahkan. Makin usia bertambah, makin saya cakna bahawa dunia ini macam lebuh raya untuk kejar saham akhirat.

“Bukan nak berlagak ‘ustaz’ tapi inilah realitinya, bukan untuk saya seorang, bahkan sama juga dengan orang lain.

“Takkan sampai ke tua nak jadi jahat atau jahil,” katanya panjang lebar.

Buat masa sekarang, Yusuf berazam mahu memenuhkan ilmu agama dalam dada. Ujarnya, kalau diberikan kesempatan, ingin mengikuti program kebajikan dan dalam masa sama belajar agama dengan Ebit Lew.

“Jujurnya, sebelum ini hidup saya tunggang-langgang. Sejak akhir-akhir ini, saya mula banyak menghabiskan masa dengan ustaz-ustaz waima dengan panggilan video. Niat saya satu, nak belajar agama.

“Saya pesan kepada diri, nasib baik Allah tak ambil nyawa waktu hidup dalam kejahilan dahulu. Saya mahu ikhlaskan diri melakukan kebaikan. Itu yang sedang saya usahakan.

“Orang nak cakap saya poyo hari-hari ‘post’ gambar berkopiah, itu pilihan dan mulut mereka. Hanya Allah tahu ikhlas hati saya. Selepas ini, kalau diberi usia panjang dan rezeki, saya nak jumpa Ebit Lew.

“Sebelum ini pernah dipelawa tapi terpaksa tolak sebab tuntutan kerja. Berat ujian Ebit Lew sekarang dan saya nak belajar bagaimana dia tabah dan cekalkan hati berdepan semua itu, insya-Allah,” ungkap Yusuf.

DARI segi perkembangan karier, Yusuf sekarang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Jangan Ganggu Jodohku arahan Jamal Khan. – BLACKPEPPER PRODUCTION

Berniqab? Saya paling bahagia

Melanjutkan bicara, Yusuf diajukan soalan, bagaimana sekiranya suatu hari, Zizi dibukakan hati untuk lebih menjaga aurat berbanding sekarang. Berniqab misalnya.

Tertawa kecil seraya cermat menyusun kata, ungkap Yusuf:

“Sebagai suami, saya sokong apa sahaja perkara yang dia lakukan asalkan mengalir ke jalan kebaikan.

“Menjawab soalan yang diajukan itu, kalau dia terbuka hati nak berniqab atau berpurdah suatu hari nanti, sayalah orang paling bahagia untuk dia.

Yusuf bagaimanapun berharap, perubahan tersebut bukan disebabkan dirinya, sebaliknya demi reda Ilahi.

“Saya tidak mahu dia berubah penampilan sebab orang atau saya,” katanya penuh santun.

Sebelum menggantung perbualan, Yusuf turut diajak bercerita tentang anak dan perancangan keluarga. Katanya, dia menyerahkan urusan zuriat kepada ketentuan Ilahi.

“Masih awal lagi nak tanya tentang hal ini (tertawa). Saya dan Zizi sedang berusaha untuk menjadi ibu dan bapa.

“Kalau ada rezeki, sayalah orang paling gembira, begitu juga Zizi. Kalau memang betul Zizi hamil nanti, saya akan berkongsi, terutama kepada kawan-kawan media. Sekarang, doakan sahaja yang baik-baik,” tutupnya.

JIKA direnung dan difikirkan semua, Yusuf hanya mampu menggelengkan kepala menyesali dan muhasabah diri untuk menjadi lebih baik dari semalam.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI