fbpx

Lorong Seni Seremban jadi produk pelancongan N9

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masri meninjau lukisan mural ketika hadir merasmikan program berkenaan di Lorong Seni Seremban hari ini. /FOTO MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Lorong Seni Seremban sepanjang 250 meter yang menempatkan pelbagai lukisan mural menarik dalam proses dinaik taraf bagi menjadikan ia sebagai produk pelancongan di bandar raya ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, projek menaik taraf itu melibatkan peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang dijangka siap sepenuhnya pada 26 November ini.

Kata beliau, projek naik taraf itu dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini bagi menerokai lukisan mural yang melibatkan beberapa jalan antaranya seperti Jalan Dato’ Bandar Tunggal, Jalan Yam Tuan dan Jalan Tuanku Munawir

“Sebelum ini, Lorong Seni Seremban telah bermula pada awal tahun 2019 di tiga buah lorong belakang di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad sehingga Lorong Bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan menggunakan peruntukan daripada P62 Negeri Sembilan sebanyak RM450,000 yang melibatkan kerja-kerja pengindahan.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri melalui peruntukan sebanyak RM500,000 bagi projek lorong seni terpanjang dan Bazar Perpatih sebagai Pusat Informasi Pelancongan. Projek ini bermula pada 20 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 November ini meliputi kerja-kerja mengecat mural, pendawaian lampu hiasan, menaik taraf tandas awam di Bazar MAINS,” ujarnya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Mural dan Libat Urus Bersama Pelajar Kolej, Belia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pelukis dan Media di Lorong Seni Seremban, hari ini.

Menurutnya, terdapat lebih 30 lukisan mural di dalam pelaksanaan projek Lorong Seni Seremban melibatkan enam orang pelukis tempatan.

Katanya, lukisan mural yang ditampillkan mempunyai beberapa tema dan elemen tersendiri seperti poster, lukisan warisan, grafiti, doodle dan avant-garde. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI