fbpx

Saarani ketuai penerima darjah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani

IPOH – Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mengetuai senarai 192 penerima darjah dan pingat kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Saarani, 60, dengan Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, penasihat undang-undang negeri, Azmir Shah Zainal Abidin pula akan menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Katanya, pada istiadat itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 13 penerima.

Menurut Mohd. Zahidi, empat individu menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Baginda turut mengurniakan sembilan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 23 Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) dan lapan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).

Katanya, 44 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 47 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 33 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan sembilan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

“Secara keseluruhannya, jumlah penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak yang telah mendapat perkenan baginda pada tahun ini adalah seramai 192 orang.

“Jumlah penerima pada tahun ini adalah terhad dan hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja yang telah diperkenankan baginda untuk dikurniakan darjah kebesaran dan pingat,” ujarnya

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak bagi siri pertama akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 14 November ini.

Bagi siri yang seterusnya iaitu bagi penerima darjah kebesaran dan pingat yang lain akan dianjurkan mengikut tarikh yang akan diperkenankan baginda dan tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 di Perak. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI