fbpx

Pesara polis jadi ‘ejen’ pantau keselamatan kawasan kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlan (kanan) ketika menyerahkan bantuan zakat kepada seorang pesara polis.

KUALA LUMPUR – Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan agar menjadi ‘ejen’ atau duta kepada pasukan itu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan taman perumahan serta kampung-kampung yang didiami mereka terjaga.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mereka boleh menjadi ‘ejen’ atau duta di peringkat taman dan kampung dengan memberi nasihat kepada penduduk bagi menjamin keselamatan bersama.

“Para pesara boleh mempraktikkan pengalaman ketika bertugas dalam PDRM dengan memberi nasihat serta menjaga keselamatan sebagai bantuan kepada PDRM.

“Kita harap dengan tugas mereka menjadi ‘ejen’ itu dapat memberikan persepsi yang positif daripada orang ramai atau penduduk terhadap pasukan PDRM,” ujarnya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Program Pengagihan Bakul Kasih Prihatin-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 2,000 pesara polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Professor Emeritus Tan Sri Sahool Hamid Abu Bakar dan Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar.

Mengulas berkenaan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP), menurut beliau, tabung berkenaan menyediakan bantuan kewangan kepada polis merangkumi lima kategori iaitu bantuan khairat kematian, bantuan pergerakan, bantuan perubatan, bantuan pendidikan dan bantuan bencana alam.

“Saya dan Ketua Polis Negara akan terus berusaha untuk mencari ruang dan peluang sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan para pesara tidak diabaikan.

“Saya harap para pesara dapat menguar-uarkan kepada rakan-rakan pesara di luar sana dan juga mengambil masa untuk melayari portal rasmi milik Hal Ehwal Pesara PDRM di epesara.rmp.gov.my bagi tujuan pendaftaran, mengemaskini maklumat diri dan mendapatkan informasi terkini berkaitan hal ehwal pesara,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI