fbpx

Najib dibenar pinda tarikh pelepasan pasport ke Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak meminda tarikh pelepasan pasport ke Singapura sebelum memulakan perjalanan melawat anak perempuannya yang baru melahirkan anak kedua di sebuah pusat perubatan pakar di negeri itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said membenarkan tarikh pelepasan pasport dipinda daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember ini dan pasport dipulangkan pada hari yang sama.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah bagaimanapun mengingatkan bekas Perdana Menteri bahawa kebenaran itu adalah yang terakhir diberikan oleh mahkamah.

Ujar beliau, panel itu tidak mahu disalah tanggap dan dilihat sewenang-wenangnya memberi kebenaran untuk pelepasan pasport kepada mana-mana individu yang berhasrat ke luar negara.

“Ini permohonan kedua (di Mahkamah Rayuan) dan mahkamah benarkan kerana terdapat alasan yang munasabah, selepas ini tiada lagi kebenaran ketiga,” ujarnya.

Sebelum itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib memohon pindaan pada tarikh pelepasan bagi membolehkan anak guamnya membantu jentera parti UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pada 26 Oktober lalu, tiga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasport untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa yang sedang berpantang selepas melahirkan anak kedua di Singapura, dua hari lalu.

Najib dijangka ke Singapura pada 21 November, iaitu sehari selepas PRN Melaka dan pulang pada 5 Disember serta menjalani kuarantin selama tujuh hari sehingga 11 Disember.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim yang hadir sebagai responden tidak membantah permohonan tersebut.

Sebelum menyampaikan keputusannya, Hakim Kamaludin berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah meneliti permohonan Najib dan menerima alasan yang diberikan.

Panel itu berpendapat, pendakwaan akan membantah jika alasan yang diberikan tidak munasabah.

Najib, 68, selaku pemohon yang memfailkan notis usul pada 21 Oktober lalu yang memohon meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya untuk melawat Nooryana Najwa di Singapura.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata beliau diamanahkan untuk membantu jentera parti UMNO menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini atas alasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bahagian tulang belakang.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI