fbpx

‘Perlu wujudkan lebih banyak sekolah seni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGARAH Joosaidy (duduk) bersama Mardiana Ismail (kiri) dan seorang lagi tonggak utama Duri Hati, Zaid Azman.

DIRENTAP kemanisan berkarya atau berseni atas pentas disebabkan pandemik yang mengganas satu dunia dek virus Covid-19, permasalahan tersebut cukup mencabar dan menyakitkan buat para penggiat industri teater.

“Penonton teater pun sudah lama menunggu. Mereka sudah lama berkurung dan disebabkan itu, saya mengambil kesempatan untuk ‘kembali bekerja’ demi kemajuan industri teater tanah air.”

Demikian kata pengarah teater Duri Hati yang juga Pengerusi Pertubuhan Kesenian Seni Beringin Malaysia, Joosaidy Johari berkenaan industri pementasan teater tanah air yang kian malap disebabkan pandemik Covid-19.

Bukan komersial semata-mata

Sehubungan dengan itu, Joosaidy menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang diwakili berasa terpanggil untuk memeriahkan kembali seni teater dengan sebuah pementasan yang diangkat daripada karya asal Moh Azam Rezali.

“Kita ini jiwa teater. Datanglah dugaan besar macam mana sekali pun, motivasi untuk mementaskan karya seni dalam bentuk teater tetap tinggi.

“Saya bukan nak fikir untung atau perihal komersil semata-mata. Sebagai seorang pendidik, saya ingin melazimkan seni teater dalam kalangan pelajar dan murid.

“Maka, usaha ini perlu diteguhkan dengan mendapat kerjasama dan sokongan daripada pihak berkaitan. Misalnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Duri Hati menyorot kisah masyarakat yang diwakili oleh sebuah keluarga. Keluarga Zaman terbeban oleh fitnah yang melanda sehingga merampas kebahagiaan dan keharmonian hidup mereka.

Inisiatif

Ditanya apa inisiatif terbaik untuk memupuk atau memperkasa seni melalui pementasan teater, Joosaidy berkata, semuanya perlu dimulakan pada peringkat akar umbi.

Kata orang, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

UJAR Joosaidy, skrip Duri Hati dipilih kerana kisah yang amat menarik dan tidak klise serta mempunyai kelainan untuk dipentaskan.

“Kalau kita tengok negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, mereka tidak pernah meletakkan seni di belakang. Seni dan sains berjalan seiringan.

“Bagi saya, sangat penting memberi kebebasan kepada golongan muda untuk pilih kerjaya mereka. Wujudkan lebih banyak sekolah seni untuk memupuk kecintaan mereka terhadap apa yang diminati.

“Rasa kecintaan terhadap seni perlu dipupuk sedari kecil. Janganlah apabila sudah besar baru sibuk itu ini. Nak merakyatkan seni bukan mudah. Bukan hanya sekadar main TikTok, Instagram dan sebagainya. Kita mahu industri ini dilihat sebagai satu cabang ekonomi sama seperti industri lain,” getusnya.

Duri Hati

Pementasan Duri Hati dijadualkan akan berlangsung pada 8, 9, 10, 11 Disember ini di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Kuala Terengganu, Terengganu.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkenaan tiket, sila hubungi talian 011-70744960 atau berurusan dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Berang, Terengganu.

Pementasan Duri Hati yang turut dinaungi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid bertujuan menyemarakkan dunia teater serta mengetengahkan karya penulisan drama yang bermutu daripada penulis tanah air.

Joosaidy merupakan seorang guru dan juga penggiat teater yang lebih menjurus kepada teater-teater berkaitan pendidikan. Dia sinonim dengan pengarahan teater kanak-kanak dan pernah memenangi Pengarah Terbaik di Manifestasi Teater Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN