Malaysia memasuki fasa endemik dalam melawan wabak Covid-19 berdasarkan situasi jangkitan virus itu di negara ini yang semakin pulih.
Ini khususnya aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti pesakit di hospital.
Ia juga memandangkan kira-kira 95 peratus orang dewasa di negara ini telah menerima suntikan, kemungkinan besar jumlah kes dan kadar kemasukan pesakit ke hospital disebabkan jangkitan wabak itu dapat diuruskan dengan lebih mudah.
Kadar penularan yang kurang daripada satu peratus juga memberi petanda bahawa negara kita sedang pulih dan menuju ke fasa endemik.
————————————————————————————————————————
SELEPAS kerajaan mengambil keputusan menarik semula larangan merentas negeri bermula 11 Oktober lalu, orang ramai mula teruja dan ada yang sudah berkira-kira untuk pulang ke kampung halaman masing-masing selepas berbulan-bulan tidak dapat melakukannya.
Malah, ada antara mereka yang mengambil kesempatan merancang percutian bersama keluarga selepas sekian lama terperap di rumah sejak kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan menerusi beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tidak mahu terlepas peluang tersebut, Wan Mohd. Azri Wan Mat, 39, mengambil langkah awal dengan menempah penginapan di sebuah resort di Kuantan, Pahang untuk bercuti bersama isteri dan empat orang anaknya selama tiga hari bermula 15 Oktober lalu.
“Saya mengambil keputusan untuk bercuti bersama keluarga kerana sudah lama menunggu peluang untuk berbuat demikian.
“Tambahan pula, saya lihat isteri dan anak-anak seakan-akan tertekan kerana sudah terlalu lama terkurung di rumah disebabkan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
“Jadi, apabila larangan merentas negeri ditarik balik, saya tidak berfikir panjang dan terus menempah penginapan di sebuah resort di Kuantan untuk bercuti bersama keluarga walaupun terpaksa membiasakan diri dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Dia yang merupakan seorang pegawai tentera yang bertugas di Subang, Selangor memberitahu, memilih untuk bercuti berbanding pulang ke kampung di Kelantan kerana telah berpeluang bertemu ayah dan ibunya kira-kira sebulan sebelum itu.
Ia dibuat selepas mendapat kebenaran daripada pihak polis untuk membawa kedua-dua mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.
Bagi seorang guru di sebuah sekolah menengah di Serdang, Selangor, Norshakirah Adnan, 39, peralihan daripada fasa dua kepada fasa tiga bagi negeri itu bermula 1 Oktober lalu dianggap satu petanda baik negara hampir berjaya mengekang penularan virus berbahaya itu, sekali gus membolehkan sekolah kembali dibuka.
Katanya, walaupun kehadiran pelajar khususnya tingkatan lima ke sekolah dilaksanakan secara penggiliran sebagai kaedah mengelak penularan wabak tersebut, namun terdapat beberapa SOP lain yang turut dititikberatkan.
“Sebagai langkah keselamatan, setiap guru juga akan diberi tugas secara penggiliran untuk mengambil suhu pelajar sebelum mereka dibenarkan masuk ke sekolah setiap hari.
“Di dalam kelas, meja pelajar akan dijarakkan mengikut saranan Kementerian Pendidikan, selain pergerakan mereka juga dihadkan di seluruh kawasan sekolah.

“Bagi saya, walaupun kerajaan sudah melonggarkan pergerakan rakyat, tetapi kesemua SOP ini sangat penting dalam usaha kita mengekang penyebaran wabak ini daripada menjangkiti pelajar dan guru, sekali gus melindungi mereka dan ahli keluarga,” katanya.
Secara umumnya, peralihan fasa di dalam PPN seperti diumumkan kerajaan sebelum ini merupakan antara petanda bahawa penularan wabak berbahaya ini di dalam negara semakin dapat dikawal.
Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 24 Oktober lalu, Malaysia sudah bersedia untuk memasuki fasa endemik dalam melawan wabak Covid-19.
Ia berdasarkan situasi jangkitan virus itu di negara ini yang semakin pulih khususnya aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti pesakit di hospital.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Pensyarah Bidang Virologi, Universiti Sains Malaysia, Dr. Kumitaa Theva Das berkata, endemik bermaksud sesuatu virus itu tidak berjaya dibanteras sepenuhnya, tetapi tetap dikesan di sesebuah kawasan atau di seluruh dunia.
Katanya, dalam konteks penularan Covid-19 di Malaysia (pada mulanya dikenali sebagai SARS-CoV-2), memandangkan kira-kira 95 peratus orang dewasa di negara ini telah menerima suntikan, kemungkinan besar jumlah kes dan kadar kemasukan pesakit ke hospital disebabkan jangkitan wabak itu dapat diuruskan dengan lebih mudah.
Jelasnya, kadar penularan yang kurang daripada satu peratus juga memberi petanda bahawa negara kita sedang pulih dan menuju ke fasa endemik.
“Menurut WHO Epidemiological Weekly Update, secara globalnya, kes dan kematian mingguan menurun sejak Ogos lalu dengan penurunan terbesar dilihat di kawasan Pasifik Barat (26 peratus) dan Afrika (32 peratus).
“Terdapat penurunan sebanyak 34 peratus dalam kadar kematian di kedua-dua kawasan berkenaan, selain data WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) menunjukkan tiada negara baharu melaporkan kes VOC (varian yang membimbangkan) pada tarikh sehingga pertengahan Oktober.
“Walaupun setiap negara mungkin mencapai fasa endemik pada masa berbeza, data ini menunjukkan secara global, usaha melawan penularan wabak Covid-19 semakin berjaya,” katanya.

Jelas Dr. Kumitaa lagi, dalam situasi semasa yang mana kebanyakan negeri kini berada dalam fasa tiga atau empat PPN, ia memberi makna Malaysia kini juga sedang dalam proses beralih daripada pandemik kepada fasa endemik.
Katanya, walaupun semakin banyak kelonggaran diberikan, tetapi ia tidak bermakna kehidupan telah kembali semasa sebelum pandemik kerana individu yang menerika suntikan vaksin masih berisiko mendapat jangkitan.
“Kemungkinan besar mereka tidak bergejala, tetapi masih boleh menyebarkan virus kepada individu lain khususnya yang belum mendapat suntikan dos lengkap, selain golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan yang mempunyai penyakit kritikal.
“Penting untuk kita mengamalkan SOP kerana dengan cara ini, kita dapat menjalani kehidupan norma baharu dengan selamat dan mampu melindungi orang tersayang,” ujarnya.
Mengulas kemungkin negara kembali berada pada fasa pandemik, jelas Dr. Kumitaa, terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada peningkatan kes dan kemasukan ke hospital pada masa depan.
Ia termasuk, jika berlaku kemungkinan penurunan imuniti terhadap golongan berisiko tinggi termasuk warga emas kerana masih terdapat kira-kira lima peratus orang dewasa di negara ini belum divaksin.
Program vaksinasi terhadap golongan kanak-kanak yang belum diluluskan kerajaan juga boleh menyebabkan golongan itu terdedah dengan jangkitan khususnya varian berbahawa seperti Delta, sekali gus meningkatkan semula jumlah kes di negara ini.
Jelasnya lagi, walaupun belum ada VOC baharu yang dikenal pasti, VOI (varian mempunyai kepentingan) seperti Lambda dan Mu, serta varian baharu dikenali AY.4.2 masih perlu dipantau dengan rapi bagi memastikan ia tidak dikesan di negara ini.
Ini kerana katanya, selagi terdapat golongan yang tidak divaksinasi, selagi itulah sentiasa ada risiko untuk varian baharu muncul.
“Selain itu, aspek penting lain yang perlu dipertimbangkan adalah hos haiwan untuk SARS-CoV-2.
“Pada masa ini, diketahui bahawa virus ini boleh menjangkiti mink (haiwan diternak untuk industi pakaian berbulu).
“Penyakit ini sukar dihapuskan jika penyakit zoonotik memainkan peranan besar dalam penularan, namun langkah-langkah kesihatan awam dan vaksinasi terus memainkan peranan besar dalam menyebabkan penurunan kes dan kematian berterusan,” jelasnya.

Justeru katanya, rakyat perlu bersedia untuk terus hidup bersama virus Covid-19 untuk tempoh lama.
Bagi tempoh beberapa tahun dari sekarang, apabila seorang kanak-kanak mengalami selesema atau demam, ia mungkin disebabkan oleh SARS-CoV-2.
Pada masa itu, kemungkinan besar SARS-CoV-2 telah ditambah ke dalam senarai empat koronavirus endemik yang kita ada iaitu OC43, 229E, NL63 dan HKU1.
“Pada masa ini, memandangkan tidak ada varian baharu yang dapat mengatasi Delta, vaksinasi yang kita ada mungkin sudah mencukupi,” katanya.
“Bagaimanapun, kita boleh menggunakan peluang ini untuk terus membina kesediaan pandemik bagi membolehkan negara kita berdikari dan memastikan langkah-langkah itu dapat diteruskan,” katanya.
Aspek-aspek seperti memastikan kapasiti penjujukan genom dalam keadaan baik, membangunkan kit ujian murah dan pantas, latihan untuk kakitangan dan menyokong pembangunan vaksin di negara ini akan membantu dalam memerangi sebarang jangkitan yang mungkin kita hadapi pada masa depan.
















