fbpx

Anak SRK keluar penjara petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARYAN akan dibebaskan dari penjara petang ini.

MUMBAI – Selepas 25 hari dihimpit rasa sugul mengenang nasib Aryan Khan di penjara, Shah Rukh Khan akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Bombay membenarkan permohonan ikat jamin ke atas anaknya, semalam.

Bintang Bollywood itu dilihat tidak mampu menahan air mata kegembiraan daripada menitis di hadapan khalayak sebaik mendengar keputusan mengenai penahanan reman bawah Biro Kawalan Narkotik (NCB) ke atas putera sulungnya yang didakwa terbabit dalam penyalahgunaan dadah, awal bulan ini.

Sekali gus, pembebasan anak muda berusia 23 tahun itu dengan ikat jamin adalah khabar gembira menjelang Deepavali selain hadiah bermakna kepada Shah Rukh yang bakal menyambut ulang tahun ke-56 pada 2 November depan.

Sekitar sejam selepas pengumuman keputusan ikat jamin, peguam Aryan, Satish Maneshinde mengeluarkan kenyataan rasmi berserta gambar pelakon Kuch Kuch Ho Ta Hai itu bersama pasukan peguam yang mewakili anak guamnya.

“Aryan dibebaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi. Tiada pemilikan, tiada bukti, tiada konspirasi ketika dirinya ditahan pada 2 Oktober lalu, sehingga sekarang. Kami bersyukur,” tulis kenyataan itu.

Wajah ceria Shah Rukh jelas menggambarkan kegembiraannya, berbeza dengan keadaan ketika kes berkenaan mendapat liputan luas sehingga dilaporkan tidak dapat tidur atau berselera menjamah makanan.

Malah sejak semalam banglo keluarga selebriti itu bagaikan pesta apabila dibanjiri peminat tegar yang menunjukkan tanda sokongan dengan memegang sepanduk ‘Selamat Pulang Putera Aryan’ selain membakar bunga api dan mercun.

SHAH RUKH KHAN dan barisan peguam bergambar selepas berita pembebasan Aryan dengan jaminan diumumkan.

Terdahulu penangkapan Aryan mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa apatah lagi selepas tercetus dakwaan manipulasi saksi, bukti palsu serta tuduhan cuba memeras berjuta dolar sebagai tebusan daripada Raja Bollywood itu.

Pada masa sama, seorang menteri kerajaan Maharashtra, Nawab Malik menuduh agensi dadah yang dikawal kerajaan Persekutuan, tidak mempunyai kes kukuh terhadap anak muda tersebut, sebilangan media juga melaporkan tiada sebarang dadah terlarang ditemukan atau digunakan ketika penahanannya.

Namun NCB pula mendakwa menemui mesej menerusi aplikasi WhatSapp Aryan yang menunjukkan dia mempunyai kaitan dengan bukti dijumpai agensi tersebut.

Dalam serbuan di kapal persiaran Cordelia dari Mumbai ke Goa pada 2 Oktober lalu NCB mendakwa merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methylenedioxy­methamphetamine (MDMA), 5 gram dadah jenis mephedrone (MD) dan lebih 1.3 lakh rupee (RM7,315) wang tunai.

Selain Aryan, tujuh tetamu parti di kapal berkenaan termasuk pelakon filem, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamecha adalah antara yang direman dalam tahanan NCB sejak 8 Oktober.

Aryan sebelum ini ditahan di Penjara Arthur Road bersama Arbaz manakala Munmun dibawa ke penjara wanita.

Satish memaklumkan anak guamnya dijangka dibebaskan petang ini sebaik menerima dokumen Perintah Mahkamah untuk diserahkan kepada pihak NCB.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI