fbpx

Perang siber bukan kepakaran Bersatu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD. RASDAN AHMAD
WARTAWAN EKSEKUTIF

KEPUTUSAN yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk pelancaran jentera pilihan raya sehingga 27 November ini adalah tindakan yang paling wajar.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam membuat pengumuman tersebut berkata, ia bertujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 sekali gus mengelak berlakunya peningkatan kes.

Secara dasarnya, keputusan tersebut akan memperlihatkan kaedah kempen secara maya perlu dimanfaatkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan 20 November ini ke­rana kempen dari rumah ke rumah juga tidak akan dibenarkan.

Walaupun dilihat kaedah secara maya ini adalah kaedah baharu yang bakal diguna pakai pada PRN kali ini, namun perang siber atau siber war ini sebenar­nya telah berlaku sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi.

Pakatan Harapan (PH) boleh dianggap sebagai pakar dalam perang siber ini dan mereka telah membuktikan kaedah ini sebagai berjaya apabila mampu meruntuhkan pemerintahan 60 tahun UMNO di Malaysia.

Jika dilihat kepada keadaan tersebut, perang siber kali ini tidak memihak kepada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan persengketaan mereka dengan UMNO juga akan menjadikan mereka tidak popular dalam PRN di Melaka.

Tidak keberatan jika dikatakan UMNO dan PH secara terang-terangan sudah lama mempunyai agenda masing-masing.

UMNO dengan agenda perjuangan Melayunya, manakala PH dengan agenda membersih negara daripada segala bentuk ‘ketirisan’, iaitu modal mereka guna sejak dahulu lagi.

Persoalannya, apa agenda yang Bersatu ingin ketengahkan kali ini? Bersatu ketika bersama PH sebelum ini pun hanyalah sebagai gabungan baharu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, PRN Melaka kali ini akan menunjukkan kelemahan Bersatu dalam meraih undi rak­yat secara maya kerana mereka tidak mempunyai pakar dalam perang siber.

“Jika kita lihat dalam rentetan PRN atau PRU yang lepas, UMNO serta Pakatan Harapan (PH) ter­nyata mempunyai kekuatan serta bala tentera siber mereka. Golongan penyokong dua parti ini adalah golongan membaca.

“Namun, bagi Bersatu pula keputusan kerajaan ini akan menyaksikan kelemahan mereka. Kepakaran mereka ternyata hanya pada kempen bersemuka. PRN kali ini kita boleh lihat bagaimana Bersatu nak ‘survive’,” jelasnya.

Bukan itu sahaja,pertelagahan antara UMNO dan Bersatu di PRN Melaka sebenarnya dilihat sebagai medan ujian ke­dua-dua parti untuk menghadapi PRU-15 secara berasingan.

Namun begitu, jika keengganan untuk bekerjasama ternyata memberi kelebihan kepada PH, maka keadaan ini akan memaksa mereka untuk memperbaiki hubungan ketika negara semakin hampir dengan PRU-15.

Perdana Menteri mungkin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen tahun hadapan dengan harapan dapat menyelesaikan kemelut politik negara.

Namun, keputusan bakal berubah sekiranya UMNO muncul pemenang PRN ini, kemungkinan kepercayaan Bersatu terhadap pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga semakin lemah, serta mungkin PRU-15 lebih awal bakal diadakan.

Suatu yang pasti dalam politik apa pun boleh berlaku. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI