fbpx

Baja organik dapat tingkatkan hasil padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROJEK tanaman bunga tunera di kawasan sawah padi telah dimulakan sejak tahun 2015.

Oleh NUR WAHIDAH HAMBALI

LAMA memikirkan tentang perkara ini.

Akhirnya, tekad untuk meluahkan rasa berbuku di hati selepas terbaca satu artikel tentang sekumpulan burung pipit mati termakan racun kimia baru-baru ini.

Pada tahun 2010, pernah terfikir andai proses penanaman padi dan pengurusan sawah kekal dengan penggunaan racun kimia secara berlebihan, hasil akan menurun dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ramalan itu tepat dan pada 2020, saya temui data lengkap hasil padi untuk Jelapang Padi Malaysia dari 2013 hingga 2018.

Ketika menjawat jawatan sebagai penjawat awam dan bertugas di dua kawasan yang terkenal dengan pengeluaran hasil padi di barat laut Selangor, graf pengeluaran hasil padi di kawasan itu menunjukkan trend penurunan sangat ketara kerana masalah itu.

Selain itu, saya juga bermula sebagai seorang petani dan merupakan pengguna tegar racun kimia termasuk dibeli di pasaran gelap dari 2004 hingga 2009.

Namun, segala-galanya berubah sebaik bekerja di Selangor dan ditugaskan untuk menjaga sawah padi pada 2010.

Sepanjang lima tahun bersama pesawah, mula beralih kepada penggunaan baja organik.
Tahun pertama bertugas di lokasi tersebut, pesawah diajar untuk menghasilkan baja organik.

Namun, ia bukan satu usaha mudah kerana berdepan kecaman, kutukan malah pernah ‘dipulaukan’ gara-gara mengajar pesawah membuat baja organik.

Ekoran itu, saya terus be­kerja keras membantu petani ke arah pertanian les­tari.

Banyak kursus dan latihan yang saya berikan bersama pasukan Jabatan Pertanian.

Pada 2014, saya ditawarkan untuk mengikuti lawatan sambal belajar ke Jepun.

Sepanjang dua minggu di Negara Matahari Terbit itu, saya melihat satu pemandangan hebat iaitu sawah padi dikelilingi tanaman dan bunga-bungaan.

Ladang sayuran turut dipenuhi de­ngan bunga cosmos, marigold (bunga tahi ayam), bunga matahari dan zinnia.

Sebaik pulang dari Jepun, saya diwajibkan untuk menyediakan laporan dan mula mencadangkan satu program bernama Ekology Engineering.

Program ini diluluskan pada tahun 2015 dan ribuan bunga tunera mula diedarkan kepada pesawah di barat laut Selangor.

Pesawah menerima tamparan hebat sekitar tahun 2013 hingga 2015 apabila diuji dengan serangan penyakit karah padi atau bacterial leaf blight.

Walaupun kempen Natural Farming agak agresif dilaksanakan, ia mendapat sambutan dingin dalam kalangan pesawah.

Pada tahun 2015, saya meletak jawatan sebagai kakitangan awam kerana ­ingin memberi tumpuan kepada program latihan terhadap pertanian lestari ke seluruh negara.

Ketika itu, bermacam kempen dibuat selepas melihat kemerosotan hasil tanaman padi dari tahun ke tahun.

Selain ancaman serangga perosak seperti ulat lipat daun, ulat layar, bena perang, kesing, siput gondang dan tikus turut menghantui pesawah.

Bayangkan, kawasan terbabit yang pernah memperoleh hasil 6.5 tan matrik per hektar pada tahun 2013 merosot sehingga 4.2 tan metrik per hektar pada tahun 2018 dan terus merosot pada 2020.

HASIL akan berkurang jika proses penanaman padi dan pengurusan sawah kekal dengan penggunaan racun kimia secara berlebihan.

Adakah ini satu petanda baik?

Kenapa perkara ini berlaku di jelapang padi yang bukan sahaja hebat dari segi infrastruktur dan petani yang mempu­nyai ilmu serta teknologi tinggi?

Dalam hal ini, ia lebih berkaitan ekosistem, kitaran dan rantaian alam yang sudah mula terputus.

Bayangkan berapa banyak serangga seperti pepatung, kumbang, penyengat dan beberapa spesies lain terancam serta pupus.

Semua mati disebabkan oleh penggunaan racun kimia tanpa kawalan.

Lebih memburukkan keadaan apabila serangga perosak semakin ‘kebal’, aktif dan mengganas di tapak-tapak sawah.

Serangga-serangga perosak ini tidak mati meskipun disembur racun yang sebelum ini mampu membunuh mereka.

Menjadi petani secara lestari dengan penggunaan baja organik sebenarnya lebih banyak membawa kebaikan.

Saya tidak mempersia-siakan ilmu yang ada untuk membina sebuah tapak sawah yang bukan sahaja cantik dipenuhi bunga-bungaan, tetapi dirawat serta dipulihkan dengan ‘tentera’ mikrob.

Ini dibuktikan dengan hasil diperoleh pada musim pertama sebanyak 8.5 tan metrik per hektar dan meningkat kepada 9.6 tan metrik per hektar musim kedua.

Bagaimanapun, cabaran pada musim pertama sangat besar.

Pelbagai jenis serangga menyerang tanaman dan padi turut dimakan ulat.

Pihak atasan memaksa menggunakan racun kimia untuk membunuh serangga perosak, tetapi saya menolak arahan itu.

Kajian daripada pelbagai sudut dibuat bagi mengatasi masalah ini.
Semua masalah dihadapi dengan kawalan organik sepenuhnya, tanpa menggunakan setitis racun kimia.

Pada musim kedua, kehadiran burung pipit, ulat, kesing mula berkurangan.

Pokok padi juga semakin subur dan berisi.

Dalam hal ini, masyarakat perlu sedar bahawa menjaga ekosistem dan kitaran alam sangat penting, selain tidak bergantung sepenuhnya kepada racun kimia.
Amalan Pertanian Baik sangat membantu kepada pemuliharaan ekosistem.

NUR WAHIDAH HAMBALI ialah Ketua Pegawai Operasi, Aras Niaga Makmur Agro Berhad yang juga bekas tenaga pengajar Program Agrobiz di Institut Pendidikan Teknikal Brunei Kampus Agro-Teknologi di Wasan, Brunei.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI