fbpx
SEJUMLAH lukisan karya seni Isa dalam pameran ini banyak menceritakan mengenai latar kehidupannya sendiri.

Daripada seorang buruh binaan menjadi pelukis berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBOLA mata Isa Ishak leka memerhatikan setiap lukisan yang memenuhi studio seni miliknya di Telok Panglima Garang, Selangor. Tidak semena-mena, bibirnya mula menguntumkan senyuman.

Bergelar anak seni sejak tahun 2016 yang mana karya dihasilkan sering mengagumkan setiap mata yang melihat, siapa sangka di sebalik bakat yang dimilikinya itu, pemuda berusia 30 tahun ini asalnya merupakan seorang buruh atau tukang buat rumah.

Ternyata bakat atau naratif hidup anak keenam daripada 12 beradik ini suatu yang jarang sekali ditemukan di arena seni.

Sejak kecil lagi, jari-jemarinya digunakan untuk membuat kerja-kerja buruh seperti membina dan membaiki rumah, namun kini digunakan untuk melukis lukisan yang kaya dengan unsur-unsur seni. Pendek kata, dahulu dirinya melihat seni dan kreativiti pada kerja-kerja membina rumah, sekarang dirinya ‘membina’ lukisan.

Lebih membanggakan apabila karya-karya yang dihasilkannya kini dipamerkan dalam pameran solo pertamanya iaitu Kisah Isa Ishak di Zhan Art Space, Petaling Jaya, Selangor bermula 1 Oktober lalu hingga 31 Disember ini.

Perjalanan hidup dan bakatnya nyata telah menarik penganjur Zhan Art Space dengan sokongan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) untuk memberi ruang dan peluang kepada Isa melaksanakan pameran solo.

ISA menghimpunkan ekspresinya menerusi pameran solo Kisah Isa Ishak.

Isa juga mempunyai portfolio yang utuh sebagai pelukis apabila dirinya telah menyertai lebih 30 pameran berkumpulan di Malaysia sebelum ini.

“Saya begitu teruja apabila pertama kali menganjurkan pameran solo.

“Pameran ini merupakan permulaan buat saya untuk menjadi pelukis dan menempa nama yang lebih besar di lapangan seni Malaysia. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang yang begitu berharga ini,” katanya kepada K2.

Jika sebelum ini kerja-kerja berat dan alat-alat bertukang boleh dikatakan tidak asing lagi dalam hidupnya, namun kini berus dan kanvas lukisan diumpamakan sebagai teman akrabnya.

Hampir setiap hari, Isa akan meluangkan masa di dalam studionya dan berkarya. Begitupun menurut bapa kepada seorang cahaya mata ini, dia masih lagi melakukan kerja-kerja kolar biru sehingga ke hari ini walaupun aktif melukis.

“Saya dibesarkan di Kebun Baru, Telok Panglima Garang. Ibu merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, manakala ayah pula bekerja sebagai tukang rumah.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya dan abang-abang mengikut ayah bekerja dan kami turut membantunya sehingga mampu bertukang. Ketika mengikuti ayah keluar bekerja itulah saya dapat melihat ‘keunikan’ cara kerjanya mencari rezeki.

“Tidak dinafikan, ayahlah insan pertama yang mengajar saya cara berfikir dengan kreatif sehingga saya menjadi seorang individu yang meminati seni,” ceritanya.

Biarpun melakukan kerja-kerja buruh, Isa tidak tercicir dalam pelajaran.

Kerana minat, Isa turut mengambil pendidikan seni sebagai subjek tambahan di sekolah menengah.

Katanya, dari situ dia mula mempelajari kaedah melukis potret haiwan dan manusia.

SALAH satu lukisan Isa yang bertemakan ‘antara dua’.

Begitupun, dia mula didedahkan di dalam bidang tersebut dengan lebih serius ketika mengikuti pengajian Diploma Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kelantan pada tahun 2016 sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Halus pada tahun 2019 di UiTM Shah Alam.

“Sijil Pelajaran Malaysia saya tidaklah bagus, tetapi saya berjaya memperoleh 1A dalam subjek Pendidikan Seni. Dengan keputusan yang diperolehi itu saya memohon untuk melanjutkan pengajian di UiTM tetapi tidak lepas.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di tingkatan enam dan setelah beberapa bulan, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di UiTM Kelantan.

“Di situlah saya mempelajari kaedah menghasilkan lukisan yang betul dan mendalaminya,” tambah Isa.

Bercerita lanjut mengenai pameran solonya itu, menurut pemuda berkulit sawo matang itu lagi, Kisah Isa Ishak sengaja dipilih sebagai judul pameran kerana keseluruhan karyanya lebih kepada mengekspresikan pengalaman, pendapat dan suasana dari kaca matanya sendiri berkisar penerimaan, identiti atau tempat.

Bahkan karya seni yang dihasilkannya itu juga merupakan dialog visual yang menggambarkan detik-detik perjalanan hidupnya bermula sebagai pekerja buruh sehingga bergelar seorang seniman.
Ia merupakan ekspresi pelbagai rasa meliputi kesukaran, keseronokan dan konflik dalam kehidupan.

“Kisah Isa Ishak ialah kisah peribadi yang amat bermakna. Menerusi pameran ini, sebanyak 26 karya dihasilkan dan dibahagi kepada dua bahagian iaitu diri dan disiplin.

“Bahagian pertama iaitu ‘diri’ melibatkan 16 karya seni figuratif separa abstrak yang mendokumentasikan peristiwa penting dalam kehidupan peribadi saya.

“Bahagian kedua ‘disiplin diri’ pula mempunyai 10 karya inspirasi pokok bonsai yang mana itu merupakan hobi saya selama dua tahun kebelakangan ini sejak pandemik.

“Kecantikan struktur pokok tersebut mirip dengan visi dan aspek pertumbuhan. Daripada siri bonsai itu saya ingin menyampaikan bagaimana seseorang itu membesar atau dibesarkan,” kongsinya.

Bercerita lanjut, dia mengambil masa lebih kurang empat bulan utk menghasilkan lukisan-lukisan yang dipamerkan dalam pameran tersebut.

KARYA menarik ini merupakan olahan Isa tentang kekeliruan.

Menariknya, kebanyakan lukisan dihasilkannya memiliki gaya abstrak dan figuratif yang kemudian digabungkan menjadi sebuah lukisan indah.

Baginya, abstrak merupakan elemen dan prinsip dalam seni yang meluahkan apa yang terakam dalam minda, manakala figuratif pula lebih kepada bentuk diri individu sendiri, sekali gus menjadikan lukisan yang dihasilkan mempunyai jalan cerita.

“Keadaan sekeliling banyak memotivasikan diri saya dalam menghasilkan lukisan kerana dari situ juga, saya mampu melihat dan belajar pelbagai emosi seperti marah, gembira mahupun sedih. Isteri dan juga ibu bapa merupakan antara pendorong buat saya menjadi seorang pelukis selain pembakar semangat untuk terus berkarya,” ujarnya.

Kongsinya lagi, dia menjadikan seniman Fauzul Yusri sebagai idola dalam bidang seni kerana figura itu banyak mengajarnya perihal disiplin dalam menghasilkan seni.

“Untuk jangka pendek, saya mahu mencari tapak untuk berkarya di dalam ataupun luar negara bagi menerokai lebih banyak peluang menghasilkan karya seni.

“Saya berharap satu hari nanti nama saya dikenali di seluruh pelosok dunia seperti pelukis-pelukis luar negara masa kini misalnya Anselm Kiefer, Damien Hirst dan ramai lagi,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN