fbpx
Gambar hiasan

Drama LGBT masuk media ‘mainstream’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Populasi manusia di seluruh dunia pada tahun ini dianggarkan sekitar 7.9 bilion orang, manakala satu kaji selidik mendapati sekitar tujuh peratus daripada jumlah tersebut tergolong sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau bersamaan lebih 500 juta orang.

Namun, jumlah sebenar penduduk LGBT mungkin jauh lebih besar kerana tidak ramai daripada mereka yang selesa berbicara tentang gaya hidup tersebut. Bilangan LGBT setiap hari semakin bertambah dan hieraki mereka dalam masyarakat Barat semakin kukuh.

Ramai individu yang mengamalkan cara hidup LGBT adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pekerjaan bagus, berpengaruh dan berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi termasuk perniagaan, hiburan dan bidang lain.

Justeru, kumpulan tersebut bukanlah mereka yang dipandang sebelah mata di Barat, malah golongan tersebut bukan lagi tabu seperti di zaman dahulu apabila mereka dicerca, dipenjara, malah ada yang dibunuh.

Pengaruh LGBT juga semakin ketara sejak dari era 2000-an mencangkupi pelbagai bidang termasuk seni seperti drama, filem dan animasi.

Kalau dahulu drama atau filem mengenai kehidupan LGBT boleh dianggap karya bawah tanah dan kontroversi, era 2000-an menyaksikan semakin banyak siri drama mengenai gaya hidup LGBT disajikan di internet termasuk drama Barat, drama Korea (K-drama) dan drama Jepun (J-Drama).

Drama -drama tersebut bukannya ditampilkan secara ‘vulgar’ tetapi menampilkan kehidupan LGBT sebagai sesuatu yang normal seperti percintaan pasangan lelaki dan wanita yang biasa kita tonton. Penulis keberatan memberi contoh tetapi drama atau klipnya boleh ditonton oleh sesiapa tanpa had umur di laman sosial biasa seperti YouTube.

Ia tidak dikategorikan sebagai 18 SX kerana tiada adegan lucah melampau yang ditampilkan tetapi perasaan dan kisah cinta berbeza tersebut, justeru drama itu dibenar ditonton oleh semua peringkat umur atas alasan tiada penapisan sebagai filem lucah.

Mungkin pendedahan ini tidak sesuai kerana kita lebih gemar berdiam dan tidak bercakap mengenainya.

Namun, ibu bapa harus tahu bahawa tema LGBT bukan lagi sesuatu yang tabu seperti zaman dahulu dan mereka harus tahu sedikit sebanyak mengetahui mengenai kandungannya di internet.

Pengetahuan mengenainya dan sikap tidak malu untuk memberikan didikan membolehkan mereka memberikan bimbingan mengenai orientasi seks yang betul sesuai dengan fitrah semula jadi.

Seboleh-bolehnya ibu bapa harus cuba mengelakkan anak-anak daripada mendapat pengetahuan tentang hubungan berbeza itu melalui tontonan siri drama yang mengasyikkan dan maklumat daripada rakan sebaya.

Menggunakan aplikasi penapisan pada komputer tablet atau komputer biasa bukan lagi jaminan kerana topik dan gaya hidup LGBT sekarang bukan lagi anomali yang perlu disembunyikan.

Dalam erti kata lain, drama filem dan komik LGBT sudah memasuki saluran ‘mainstream’ dan boleh ditonton oleh sesiapa dan pada bila-bila masa sahaja.

POPULAR