fbpx
BINOTTO

Binotto tumpu pembangunan jentera Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Maranello, Itali – Pasukan Ferrari dilihat mula melakukan persiapan terbaik terutama aspek pembinaan jentera baharu yang lebih berdaya saing menjelang perlumbaan Formula Satu (F1) bagi musim 2022 nanti.

Prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto mendedahkan beliau mungkin akan terlepas sekurang-kurangnya dua lagi perlumbaan musim ini di Grand Prix (GP) Mexico dan Brazil untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada projek pembangunan jentera Ferrari bagi musim depan.

Sebelum ini, Binotto tidak menyertai pasukan itu pada perlumbaan Grand Prix (GP) Turki selepas perlu berada di Maranello untuk memantau perkembangan pembangunan jentera Ferrari ketika peraturan baharu F1 akan bermula pada 2022 nanti.

“Saya akan bersama pasukan pada hujung minggu ini di GP Amerika Syarikat. Kalendar perlumbaan musim ini terdapat perubahan, jadi saya terpaksa mengubah rancangan saya.

“Sekurang-kurangnya saya tidak akan menyertai pasukan untuk dua perlumbaan lagi. Pada waktu ini, saya merancang untuk tidak menyertai saingan di Mexico dan juga Brazil,” katanya.

Bagaimanapun, Binotto tetap memantau prestasi pasukannya dari jauh, manakala dua perlumbaan di Mexico dan Brazil akan diambil alih oleh pengarah sukan Ferrari, Laurent Mekies.

“Banyak perkara perlu dilakukan di Maranello, malah saya terpaksa menguruskan keseluruhan pasukan termasuk pembangunan casis, unit kuasa dan seluruh organisasi.

“Kami berada dalam fasa pembangunan 2022 dan masa dilihat agak suntuk. Jadi, ini adalah langkah terbaik bagi memastikan semua pergerakan projek mengikut perancangan yang te­lah ditetapkan,” katanya. – AGENSI

POPULAR

BERITA BERKAITAN