fbpx

Dimensi seni fesyen gabungan alam, arca seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOLEKSI Flurby inspirasi daripada seni cecair yang dimanipulasi, sekali gus kelihatan seperti pemandangan indah lautan dan pantai.

KEINDAHAN alam sekitar, arca, monumen, seni bina, lokasi pelancongan dan kesenian menjadi subjek terpenting bagi Danial Arif Shah Budin dalam menghasilkan koleksi rekaan fesyennya.

Hasil gabungan idea tersebut, dia mengolahnya dengan penuh cermat dan halus bagi menterjemahkan sesuatu cerita yang mana setiap mata mempunyai pemahaman berbeza tatkala menatap koleksi-koleksinya. Lebih unik, setiap corak yang dihasilkan itu mempunyai penceritaan berbeza bergantung kepada imaginasi dan sudut pandang masing-masing.

Danial Arif sengaja membiarkan si pemakai bebas mentafsir corak rekaan tersebut dan sekali gus, meraikan perbezaan pendapat. Berbeza dengan pereka-pereka lain, pensyarah fesyen itu tidak terlalu fokus kepada siluet, sebaliknya lebih memberi perhatian kepada cetakan keseluruhan sesuatu busana.

Dia juga menggemari rekaan ringkas, potongan minimalis, selesa dipakai dan setiap corak itu menceritakan kisah tertentu bergantung sudut pandang setiap individu.

DANIAL ARIF menterjemah keindahan fenomena alam di langit utara, aurora borealis dengan menggabungkan pemandangan langit senja dan malam.

Tampil dengan sentuhan signaturnya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Bentuk Fesyen dan Tekstil di University of Paris-Est Marne-la-Vallée, Paris itu kini kembali dengan tiga koleksi terbaharu dikenali sebagai Perfect Home, Aurora dan Flurby.

“Idea untuk menghasilkan koleksi ini terhasil daripada pengalaman saya melihat pertunjukan seni dan melawat tempat-tempat menarik lantas memberi inspirasi untuk menghasilkan motif sedemikian.

“Koleksi kemeja-T uniseks ini boleh digayakan secara kasual, santai dan dipakai bagi melakukan aktiviti lasak kerana menggunakan fabrik jersi ragbi yang sangat selesa, ringan serta tidak panas,” katanya yang juga memiliki Diploma Reka Bentuk Fesyen di School of Duperré, Paris.

Tambahnya, baju atau kemeja-T itu direka dengan potongan longgar seiring fesyen terkini dan ia didatangkan dengan tiga pilihan kumpulan saiz iaitu pertama, untuk kecil hingga pertengahan, besar dan lebih besar.

Memperincikan setiap satu koleksi sedia pakai itu, Danial Arif memberitahu, Perfect Home diinspirasikan daripada karya arca seni bertajuk Perfect Home yang dihasilkan oleh pengarca dari Korea Selatan iaitu Do Ho Suh.

“Ketika mengikuti pertunjukan seni tersebut, saya berasa sangat tertarik dengan seni arca itu lantas menjadikannya sebagai inspirasi dalam rekaan dengan mengambil sebahagian arca tersebut untuk dijadikan motif baju-T ini.

FESYEN ini diinspirasikan daripada karya arca seni bertajuk Perfect Home.

“Rekaan ini didatangkan dengan rona yang menonjol dan jika diperhalusi corak tersebut kelihatan seperti tingkap rumah, tetapi apapun ia juga bergantung kepada mata yang melihatnya,” ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Bagi koleksi kedua Aurora pula, Danial Arif menterjemah keindahan fenomena alam di langit utara iaitu aurora borealis dengan menggabungkan pemandangan langit senja dan malam.

Sementara itu, koleksi Flurby pula diinspirasikan daripada seni cecair yang dimanipulasi untuk menghasilkan sesuatu kisah.

Sekali imbas ia kelihatan seperti pemandangan indah di lautan serta pantai. Untuk mengetahui lanjut mengenai koleksi fesyen Danial Arif, layari platform beli-belah peribadi danialarifstudio.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI