fbpx

Seorang maut, dua parah kemalangan tiga buah motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dirakam pengguna lebuh raya di lokasi kejadian semalam.

SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di Kilometer 29.8 Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) menghala ke Nilai selepas Plaza Tol Setul di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu seorang penunggang motosikal Yamaha Y15 berusia 27 tahun maut di tempat kejadian.

“Mangsa dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang besi sebelah kanan lebuh raya.

“Pada masa sama telah datang dua buah motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki masing-masing berumur 26 dan 27 tahun dari arah yang sama cuba mengelak mangsa yang terjatuh di atas lebuh raya sehingga menyebabkan mereka terbabas lalu terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Mohd. Fazley, akibat kemalangan itu, dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan tangan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk menerima rawatan manakala seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, saksi kejadian diminta untuk tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor B. Sharveen Raj di talian 011-2617 6424 bagi membantu siasatan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI