fbpx
Hairul Azreen memberi nasihat walau sesibuk mana, jangan lupakan waktu bersama keluarga.

‘Kerja jangan sampai lupa mak abah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon Hairul Azreen menitipkan pesanan bahawa walau sesibuk mana sekalipun kehidupan, usah dilupa keutamaan kepada keluarga.

Pemilik nama lengkap, Hairul Azreen Idris itu berkata, kehidupan perlu seimbang antara kerjaya dan waktu bersama orang tersayang.

“Saya selalu cakap macam begini sebab kalau boleh saya cuba setiap hari Ahad, adalah hari untuk keluarga.

“Sibuk macam mana pun sebab dari dulu lagi saya buat macam-macam kerja, saya tahu ada sahaja masa untuk kita cuti sehari untuk bersama keluarga sebab kita hidup kena seimbang,” katanya menerusi satu entri terbaharu dalam Instagram.

Ujar pelakon filem Paskal itu lagi, jangan jadikan alasan kesibukan kerja sampai lupa tanggungjawab kepada orang-orang penting dalam hidup.

“Kerja jangan sampai lupa mak abah, kerja jangan sampai lupa adik beradik, kerja jangan sampai lupa anak-anak.

“Kalau sibuk sangat. sekurang-kurangnya telefon atau buat panggilan video. Kita bukan yang terbaik tetapi cuba jadi sebaik mungkin untuk keluarga,” ujar Hairul, 33.

Dalam pada itu, menerusi satu hantaran status berasingan, Hairul mengenang kesusahan hidupnya apabila berkongsi cerita pernah mengambil upah mengecat jalan pada 2007.

“Masuk kerja 12 tengah malam, habis kerja pukul 5 pagi. Sebab orang dah siap nak pergi kerja.

“Tapi masa kerja itu, ada kereta-kereta ‘sport’ laju lalu sebelah saya, lepas itu saya apa lagi terus menjerit satu hari nanti, saya kerja rajin-rajin dan beli ‘sebiji’ (kereta).

“Selepas itu kawan yang kerja cat dengan saya cakap, ‘Kau apahal? Gila!’,” katanya.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, usah takut untuk memasang impian besar dan ditertawakan.

“Kalian semua, kalau kita inginkan sesuatu atau impian kita itu digelakkan kawan, maknanya impian kita tu besar dan bagus untuk kita tuju sebab kata-kata itu doa,” katanya.

Terdahulu pada Rabu lalu, Hairul sekeluarga mengejutkan peminat apabila menempah sebuah helikopter untuk bercuti di sebuah resort mewah di Pulau Redang.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan, keluarga bahagia itu menyambung percutian dengan menaiki kapal layar mewah (superyacht) yang dinamakan Asean Lady milik ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Vincent Tan. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN