fbpx

Ayah Su ‘kerjakan’ bakal pengantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK disyaki merogol mangsa kononnya untuk merawat gangguan makhluk halus yang dialami wanita itu. – GAMBAR HIASAN

PASIR MAS – Hasrat seorang bakal pengantin perempuan untuk membuat rawatan gangguan makhluk halus berakhir mimpi ngeri apabila dia menjadi mang­sa rogol seorang bomoh di sebuah rumah di Kampung Tendong di sini pada Khamis lalu.

Kejadian malang yang me­nimpa mangsa berusia 23 tahun itu berlaku ketika dia bersama ibu dan bakal suaminya datang ke sebuah rumah milik seorang pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Ayah Su kira-kira pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, mangsa dikatakan ingin mendapatkan rawatan daripada lelaki yang mengaku sebagai bomoh itu selepas sering mengalami mimpi yang menakutkan dipercayai akibat gangguan makhluk halus.

“Ketika mendapatkan rawatan, suspek telah meminta mangsa untuk masuk ke dalam sebuah bilik rawatan menerusi pintu belakang rumah sambil diiringi oleh seorang wanita dikenali Mok Su yang merupakan isteri kepada suspek.

“Semasa mangsa berada di dalam bilik itu secara berseorangan, suspek telah memintanya untuk menanggalkan seluar yang dipakainya.

“Suspek kemudian dipercayai telah merogol mangsa di dalam bilik tersebut dengan alasan ia merupakan salah satu kaedah rawatan untuk menghalau daripada gangguan makhluk halus,” katanya pada sidang akhbat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini semalam.

Menurut Mohd. Nasaruddin, suspek turut memberi amaran kepada mangsa agar tidak menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya dan meminta wanita itu datang sekali lagi untuk rawatan susulan.

Bagaimanapun, katanya,­ ­mangsa telah membuat laporan berhubung kejadian itu dan polis telah menahan bomoh terbabit pada pukul 12 tengah malam pada hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati, suspek telah menjalankan akti­viti perubatan tradisional itu sejak 36 tahun lalu. Selain itu, kita juga dapati suspek menggunakan alasan mangsa mengalami gangguan makhluk halus sebelum merogolnya.

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bukanlah yang pertama kali berlaku. Saya me­n­yeru mana-mana wanita yang pernah menjadi mangsa perbuatan suspek agar tampil membuat laporan polis,” ujarnya.

Mohd. Nasaruddin turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menjalani sebarang rawatan dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku perkara yang membabitkan kejadian jenayah.

Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI