fbpx
KONTROVERSI melibatkan Kak KM (tengah) mendapat perhatian dua pendakwah, PU Syed dan Ustazah Asma' Harun yang tampil membuat teguran kepadanya.

‘Marketing’ melampau, lucah vs halal, haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA, sudah lama situasi kemunculan iklan-iklan produk berbaur lucah membarah dalam media sosial. Baik melibatkan kaum wanita mahupun lelaki, iklan sebegitu ‘bersepah’ ada di sekeliling kita.

Cakaplah apa sahaja, iklan yang menayang badan, buah dada, punggung atau separuh bogel, semuanya ada. Perkara yang sepatutnya disorok dalam kelambu, mahu ditayang dan dicanang kepada satu dunia.

Isu tentang iklan lucah kembali meledak baru-baru ini dalam masyarakat selepas netizen ‘mengeji’ tindakan beberapa orang artis yang sanggup meletakkan ke tepi soal maruah demi mengaut wang.

Pelakon Zara Zya dilabel tidak serik apabila masih lagi berdegil mempromosikan iklan lucah dalam Instagramnya selepas pernah berbuat demikian beberapa kali sebelum ini, sekali gus mengundang rasa kurang senang pengikutnya.

Rata-ratanya meluahkan rasa kecewa kerana Zara masih bersikap tidak peduli dengan teguran orang ramai terhadapnya, malah tidak kurang ada yang mendakwa dirinya ‘pokai’ sehingga sanggup menerima tawaran sebegitu demi wang.

Bahananya, ada yang mengambil langkah dengan tidak lagi mengikuti pelakon drama Pia itu dalam Instagram.

PERNAH memuat naik video promosi berbaur lucah sebelum ini, Zara Zya tidak serik melakukan hal sama baru-baru ini.

Perkara sama berlaku kepada pelakon Raja Afiq yang dilabel sengkek oleh netizen kerana membuat promosi untuk produk yang sama seperti Zara.

Bagaimanapun jelas pelakon itu, dia menerima tawaran berkenaan hanya untuk membantu peniaga, malah berasakan tiada yang salah tentang tindakannya kerana iklan tersebut tidak selamanya berada dalam Instagram.

Berbeza pendirian, pelakon dan pengacara Elly Mazlein ada pendapat sebaliknya. Dia menyelar tindakan peniaga-peniaga yang menggunakan kandungan tidak senonoh, sensitif dan mengaibkan demi melariskan produk.

Selar Elly, di mana maruah peniaga-peniaga tersebut yang tidak tahu malu kerana memberinya video promosi iklan yang dianggapnya ‘bingai’.

“Pemasaran elok-eloklah sikit. Ini bagi aku video goyang-goyang buah dada. Wanita bertudung joget-joget bergegar-gegar, apa benda ni?” soalnya dalam hantaran InstaStory.

Pelakon Noorkhiriah juga menerusi satu hantaran Instagram membuat teguran lembut terhadap golongan peniaga dengan menasihatkan mereka tidak menggunakan wanita bertudung sebagai model.

Sebagai wanita, pelakon drama Ayahanda itu berasa terpanggil membuat teguran kerana malu melihat kaum sepertinya ‘menjaja diri’ dan tidak menjaga maruah dengan baik.

Pada masa sama, dia tidak boleh menutup mata apabila melihat semakin ramai pihak kerap berkongsi iklan sebegitu demi mengejar tawaran lumayan dan rating tinggi.

“Selagi punya kudrat walau makan kicap sekali pun, saya takkan buat ulasan produk sebegini. Memang ada yang tekan butang suka, tapi Allah murka. Jagalah maruah kita,” tegurnya.

AKUI Noorkhiriah, dia berasa malu melihat ramai pihak sanggup menerima tawaran membuat reviu produk dengan iklan promosi lucah sejak kebelakangan ini.

Sebelum nama Raja Afiq dan Zara terkait dengan isu tersebut, perihal berkenaan terlebih dahulu menggelegak dengan kontroversi membabitkan usahawan produk sensasi, Liana Rosli atau mesra disapa Kak KM.

Wanita itu berang selepas gaya pemasaran produk dengan gaya lucah yang dilakukannya sejak sekian lama menerima teguran daripada pendakwah PU Syed yang berkata, wang yang diperoleh hasil perniagaan tersebut tidak berkat selain berniaga dengan cara berdosa.

Perang tersebut mendapat perhatian pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun yang tampil menegur perbuatan tidak bermoral golongan selebriti, pempengaruh media sosial (influencer) dan pengasas produk yang menggunakan jalan maksiat secara terbuka atas nama pemasaran.

Kata Asma’, situasi itu merupakan barah yang semakin kronik dalam masyarakat, malah produk mereka yang laris bukan ukuran perniagaan dilakukan diberkati Allah kerana istidraj itu benar.

“Seandainya sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita,” tulisnya dalam hantaran Facebook.

Seperti apa yang ditegur Asma’, kita tidak tahu bilakah kematian akan menjemput, namun gunakanlah setiap hela nafas yang dipinjamkan saban hari untuk mencari keampunan-Nya.

POPULAR